Bahasa Melayu

Yesus Sentiasa Ada

2 Ogos 2021
Hari Isnin dalam Minggu Biasa Kelapan Belas (Tahun B&C)
Bacaan Hari Ini

Santo Eusebius dari Vercelli, Uskup—Peringatan Pilihan

Santo Petrus Julian Eymard, Paderi—Peringatan Pilihan

Vide0

Apabila Yesus mendengar tentang kematian Yohanes Pembaptis, Dia mengundurkan diri dengan menaiki sebuah perahu ke tempat yang sunyi untuk bersendirian. Orang ramai mendengar hal ini lalu mengikuti-Nya dengan berjalan kaki dari kota-kota mereka. Apabila Dia turun dari perahu dan melihat orang yang begitu ramai itu, hati-Nya tergerak oleh belas kasihan terhadap mereka, lalu Dia menyembuhkan mereka yang sakit.  Matius 14:13–14

Dari sudut kemanusiaan, hati Yesus berdukacita atas kematian Yohanes Pembaptis.  Dia mengasihi Yohanes dan amat sedih kerana Yohanes telah dipenggal kepalanya.  Maka, Dia mengundurkan diri dengan menaiki sebuah perahu ke tempat yang sunyi untuk bersendirian.  Namun, orang ramai masih dahagakan lebih banyak lagi!  Mereka mahu melihat Yesus dan mendengarkan-Nya.  Mereka mengenali ramai orang yang sakit dan mahu Yesus menyembuhkan mereka.  Maka, mereka mencari-Nya walaupun Dia telah mengundurkan diri daripada orang ramai untuk bersendirian.

Apakah reaksi Yesus?  Adakah Dia memandang mereka lalu mengeluh sambil berkata dalam hati, “Mengapakah mereka tidak membiarkan Aku bersendirian?  Tidakkah mereka tahu bahawa Aku sedang berdukacita?”  Tidak.  Sebaliknya, Yesus dipenuhi kerahiman dan belas kasihan terhadap mereka, lalu Dia pergi kepada mereka untuk menyembuhkan ramai orang sakit dalam kalangan mereka.

Hal ini memberi kita gambaran tentang hati dan belas kasihan Tuhan kita.  Sering kali, kita takut untuk datang kepada Allah.  Kita takut untuk berpaling kepada-Nya kerana dosa kita.  Kita takut akan apa yang akan difikirkan-Nya dan dikatakan-Nya kepada kita.  Kita berasa bersalah dan malu, lalu tidak mencari-Nya.

Namun, sebagaimana Yesus berbelas kasihan terhadap mereka yang mencari-Nya dalam kisah ini, demikian juga Dia SENTIASA menaruh belas kasihan yang amat mendalam terhadap kita setiap kali kita mencari-Nya.  Jika kita mendapati hidup kita bergelumang dengan dosa, namun tetap berlari kepada-Nya, Dia akan memandang kita dengan belas kasihan dan kerahiman.  Dia tidak pernah jemu apabila kita kembali kepada-Nya untuk memohon penyembuhan dan kerahiman-Nya.  Kita hendaklah sentiasa berharap kepada-Nya dan berpaling kepada-Nya dengan penuh keyakinan.

Renungkanlah hari ini sejauh mana anda berasa selesa untuk berpaling kepada Yesus dalam keadaan diri anda seadanya.  Adakah anda takut atau bimbang tentang pandangan-Nya terhadap anda?  Adakah anda malu akan dosa atau kelemahan anda?  Adakah anda bimbang bahawa Dia akan menghakimi anda dan tidak mempedulikan anda?  Yakinlah akan kerahiman-Nya yang melimpah dan berlarilah kepada-Nya tanpa rasa takut.

Tuhan, bantulah aku untuk menaruh kepercayaan pada kasih dan belas kasihan-Mu.  Bantulah aku untuk mengetahui bahawa Engkau sentiasa merindukan kedatanganku kepada-Mu.  Sebagaimana Engkau tidak pernah jemu menyambut kedatanganku kepada-Mu, semoga aku juga tidak pernah jemu datang kepada-Mu.  Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Renungan Kitab Suci untuk Masa Biasa

Semua Orang Kudus/Perayaan

Para Kudus Hari Ini –

Santo Eusebius dari Vercelli, Uskup—Peringatan Pilihan

Santo Petrus Julian Eymard, Paderi—Peringatan Pilihan

Pilihan Bacaan Misa

Imej utama di atas: Kristus menyembuhkan orang sakit di tepi Tasik Galilea oleh Pierre Dulin, melalui Wikimedia Commons


  Subscribe to our YouTube channel  
  to be notified about new content.