Bahasa Melayu

Sikap Tidak Rasional berbanding Sikap Normal 

5 Julai 2022
Selasa dalam Minggu Keempat Belas Masa Biasa
Bacaan Hari Ini

Santo Antonius Zaccaria, Paderi—Peringatan Pilihan

Santa Elisabet dari Portugal—Peringatan Pilihan
(Dirayakan pada 4 Julai di luar Amerika Syarikat)

Video

Seorang yang dirasuk roh jahat dan tidak dapat bercakap dibawa kepada Yesus. Setelah roh jahat itu diusir, orang bisu itu pun bercakap. Orang ramai berasa takjub lalu berkata, “Hal seperti ini belum pernah dilihat di Israel.” Tetapi orang Farisi berkata, “Dia mengusir roh-roh jahat dengan kuasa penghulu roh jahat.”  Matius 9:32-34

Alangkah ketaranya perbezaan yang kita lihat antara reaksi orang ramai dengan reaksi orang Farisi. Sebenarnya, perbezaan ini amat menyedihkan.

Reaksi orang ramai, iaitu orang biasa dalam kehidupan seharian, ialah rasa takjub. Reaksi mereka memperlihatkan iman yang sederhana dan murni, yang menerima apa yang dilihatnya. Alangkah besarnya berkat memiliki iman seperti ini.

Reaksi orang Farisi pula penuh dengan sikap menghakimi, tidak rasional, cemburu dan keras. Yang paling menonjol ialah sikap tidak rasional itu. Apakah yang menyebabkan orang Farisi membuat kesimpulan bahawa Yesus “mengusir roh-roh jahat dengan kuasa penghulu roh jahat?” Sudah tentu, tiada apa-apa yang dilakukan oleh Yesus yang boleh membawa mereka kepada kesimpulan ini. Oleh itu, satu-satunya kesimpulan yang logik ialah bahawa orang Farisi dipenuhi rasa cemburu dan iri hati tertentu. Dosa-dosa inilah yang membawa mereka kepada kesimpulan yang tidak masuk akal dan tidak rasional ini. 

Pengajaran yang patut kita ambil daripada hal ini ialah kita mesti mendekati orang lain dengan rendah hati dan jujur, bukannya dengan rasa cemburu. Dengan memandang orang di sekeliling kita dengan rendah hati dan kasih, kita secara semula jadi akan membuat kesimpulan yang benar dan jujur tentang mereka. Kerendahan hati dan kasih yang tulus akan membolehkan kita melihat kebaikan orang lain dan bersukacita atas kebaikan itu. Sudah tentu, kita juga akan menyedari adanya dosa, tetapi kerendahan hati akan membantu kita mengelakkan sikap terburu-buru dan tidak rasional dalam menghakimi orang lain akibat rasa cemburu dan iri hati.

Renungkanlah hari ini cara anda biasanya berfikir dan bercakap tentang orang lain.  Adakah anda cenderung menjadi seperti orang ramai yang melihat, percaya dan takjub akan perkara-perkara baik yang dilakukan oleh Yesus?  Atau adakah anda lebih menyerupai orang Farisi yang cenderung mereka-reka dan membesar-besarkan sesuatu ketika membuat kesimpulan?  Bertekadlah untuk mengamalkan sikap normal seperti orang ramai itu, supaya anda juga dapat menemukan sukacita dan rasa takjub dalam Kristus.

Tuhanku yang mengagumkan, aku ingin memiliki iman yang sederhana, rendah hati dan murni.  Bantulah aku juga untuk melihat Engkau dalam diri orang lain dengan rendah hati.  Bantulah aku untuk melihat Engkau dan berasa kagum akan kehadiran-Mu dalam kehidupan mereka yang kutemui setiap hari.  Yesus, aku percaya kepada-Mu.

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Para Kudus/Perayaan Hari Ini

Orang Kudus Hari Ini:
Santo Antonius Zaccaria, Paderi—Peringatan Pilihan

Santa Elisabet dari Portugal—Peringatan Pilihan
(Dirayakan pada 4 Julai di luar Amerika Syarikat)

Pilihan Bacaan Misa

Imej: Lelaki Buta dan Bisu yang Dirasuk Roh-roh Jahat, karya James Tissot