Bahasa Melayu

Mutiara yang Sangat Berharga

27 Julai 2022
Hari Rabu dalam Minggu Ketujuh Belas Masa Biasa
Bacaan Hari Ini

Video

“Demikian juga, Kerajaan Syurga itu seumpama seorang pedagang yang mencari mutiara yang indah.  Apabila dia menemukan sebutir mutiara yang sangat berharga, dia pergi menjual segala yang dimilikinya lalu membeli mutiara itu.”  Matius 13:45-46

Banyak pengertian yang indah dapat kita peroleh daripada petikan ini.  Sudah tentu kita boleh melihat Kerajaan Syurga sebagai seumpama “Mutiara yang Sangat Berharga” itu!  Namun, petikan ini sebenarnya menyatakan bahawa Kerajaan Syurga seumpama “pedagang yang mencari mutiara yang indah.”  Kenyataan ini menyingkapkan sesuatu yang penting.

Satu pengertian yang diberikan kepada kita ialah bahawa Kerajaan Syurga ditemukan dalam pencarian kita yang tekun.  Kita menyelidiki misteri Syurga, dan pencarian itu sendiri menghadirkan Kerajaan Allah kepada kita.  

Berbicara tentang “pencarian akan Allah” ialah satu lagi cara untuk mengatakan bahawa Allah ialah Misteri Iman yang amat mendalam, suatu Mysterium Fidei seperti yang kita ucapkan dalam Misa Kudus.  Memandangkan Allah ialah “Misteri” ilahi, penting bagi kita untuk memahami bahawa kita tidak akan pernah dapat “menemukan” Allah sepenuhnya.  Sudah tentu kita dapat menemukan-Nya, memahami-Nya, mengenali-Nya dan menyerahkan hidup kita kepada-Nya.  Namun, kita tidak akan pernah dapat melakukannya sepenuhnya.  Hakikatnya, semakin kita mengenali Allah, semakin kita mencari-Nya, dan semakin kita mencari-Nya, semakin kita menyedari bahawa kita belum mengenali-Nya sepenuhnya.  Namun, penyingkapan ini menarik kita semakin mendalam ke dalam kehidupan Allah dan membawa kita untuk memperoleh Kerajaan Syurga.

Menemukan keindahan, nilai, misteri, kuasa dan kemuliaan Allah serta Kerajaan-Nya seharusnya menjadi inti kehidupan kita.  Kita harus menjalani hidup ini dengan mencari, menemukan, lalu terus mencari.  Inilah yang akan kita lakukan di Syurga.  Syurga akan menjadi saat tersingkapnya Kerajaan Allah dan kehidupan dalaman-Nya secara penuh, tetapi dalam penyingkapan ini kita akan mendapati bahawa untuk selama-lamanya kita akan masuk semakin mendalam ke dalam Allah dan hadirat-Nya yang mulia.

Renungkanlah hari ini pencarian yang anda jalani dalam hidup anda.  Adakah anda mencari Allah dengan tekun?  Atau adakah anda semakin lalai dalam usaha ini?  Perbaharuilah komitmen anda untuk mencari Allah dengan sepenuh hati, dan anda akan mendapati bahawa pencarian ini sebenarnya menyingkapkan kemuliaan Kerajaan Syurga.

Rajaku yang kekal, aku mengasihi-Mu dan ingin semakin mengasihi-Mu.  Penuhilah aku dengan semangat yang berkobar-kobar dan harapan ketika aku mencari-Mu.  Semoga pencarianku akan Engkau dengan sepenuh hati menyingkapkan kepadaku misteri kehidupan dalaman-Mu yang mulia.  Apabila aku menemukan-Mu, bantulah aku untuk semakin mencari-Mu.  Yesus, aku percaya kepada-Mu.

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Semua Orang Kudus/Perayaan

Pilihan Bacaan Misa Kudus

Imej Pilihan: Bengkel Domenico Fetti, Domain awam, melalui Wikimedia Commons