20 September 2022
Selasa dalam Minggu Kedua Puluh Lima Masa Biasa
Bacaan Hari Ini

“Ibu-Ku dan saudara-saudara-Ku ialah mereka yang mendengar firman Allah dan melaksanakannya.” Lukas 8:21
Mungkin anda pernah tertanya-tanya bagaimana rasanya mempunyai ahli keluarga yang berkuasa dan terkenal. Bagaimanakah rasanya jika adik-beradik atau salah seorang ibu bapa anda ialah Presiden Amerika Syarikat? Atau seorang atlet terkenal? Atau tokoh terkenal yang lain? Hal itu mungkin akan membawa kegembiraan dan kebanggaan dalam erti yang baik.
Ketika Yesus hidup di bumi, Dia semakin “terkenal”, boleh dikatakan demikian. Dia dikagumi, dikasihi dan diikuti oleh ramai orang. Ketika Dia sedang berbicara, ibu dan saudara-saudara-Nya (yang kemungkinan besar ialah sepupu-sepupu-Nya) tiba di luar. Tidak syak lagi, orang memandang mereka dengan rasa hormat dan kagum, malah mungkin dengan sedikit rasa cemburu. Alangkah indahnya jika dapat menjadi saudara Yesus sendiri.
Yesus benar-benar menyedari berkat menjadi saudara-Nya sendiri, sebahagian daripada keluarga-Nya sendiri. Oleh sebab itu, Dia mengucapkan kata-kata ini untuk mengundang setiap orang yang hadir supaya melihat diri mereka sebagai anggota keluarga yang akrab dengan-Nya. Sudah tentu, Bonda kita yang Terberkati akan sentiasa mengekalkan hubungannya yang unik dengan Yesus, tetapi Yesus mahu mengundang semua orang untuk berkongsi ikatan kekeluargaan dengan-Nya.
Bagaimanakah hal ini berlaku? Hal ini berlaku apabila kita “mendengar firman Allah dan melaksanakannya.” Semudah itu sahaja. Anda diundang untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Yesus secara mendalam, peribadi dan penuh makna, asalkan anda mendengar segala yang difirmankan Allah lalu melaksanakannya.
Walaupun dari satu sudut hal ini mudah, namun benar juga bahawa ini merupakan suatu langkah yang sangat radikal. Langkah ini radikal kerana menuntut komitmen sepenuhnya kepada kehendak Allah. Hal ini demikian kerana apabila Allah berfirman, firman-Nya penuh kuasa dan membawa perubahan. Melaksanakan firman-Nya akan mengubah hidup kita.
Renungkanlah hari ini undangan Yesus untuk menjadi anggota keluarga yang akrab dengan-Nya. Dengarlah undangan itu dan jawablah “Ya”. Apabila anda menjawab “Ya” kepada undangan ini, bersedialah dan relalah membiarkan suara-Nya serta kehendak ilahi-Nya mengubah hidup anda.
Tuhan, aku menerima undangan-Mu untuk menjadi anggota keluarga-Mu yang akrab. Semoga aku mendengar suara-Mu berbicara dan melaksanakan segala yang Engkau katakan. Yesus, aku percaya kepada-Mu.
Orang Kudus Hari Ini – Santo Andreas Kim Tae-gŏn, Paderi, dan Santo Paulus Chŏng Ha-sang, serta Rakan-rakan, Martir
Gambar: Kristus bertemu dengan isteri dan anak-anak Zebedeus karya Paolo Veronese, melalui Wikimedia




