3 Disember 2023
Hari Minggu Pertama Adven (Tahun B)
Bacaan Hari Ini

“Yesus berkata kepada murid-murid-Nya: “Berjaga-jagalah! Berwaspadalah! Kamu tidak tahu bila waktunya akan tiba.” Markus 13:33
Waktu manakah yang dimaksudkan oleh Tuhan kita? Dia merujuk kepada waktu kedatangan-Nya. Namun, kita harus memahami bahawa walaupun Dia pernah datang kepada kita dalam daging pada zaman dahulu, dan walaupun Dia akan kembali lagi dalam daging untuk menghakimi orang yang hidup dan yang mati pada akhir zaman, Dia tidak pernah berhenti datang kepada kita siang dan malam melalui anugerah rahmat yang mengubah hidup. Adakah anda peka terhadap kedatangan ini? Atau adakah anda terlepas berkat rahmat Allah yang tidak terhitung banyaknya, yang ingin dikurniakan-Nya kepada anda setiap hari, sepanjang hari?
Dunia mempunyai banyak gangguan yang mengalihkan perhatian kita. Perhatian kita dialihkan oleh tarikan kekayaan, pemuasan hawa nafsu, serta kebisingan berterusan daripada media moden, peranti elektronik dan sebagainya. Semua ini dan banyak lagi gangguan harian menjadikan kita sangat sukar untuk sentiasa “berjaga-jaga” dan “berwaspada.” Hal ini demikian kerana daya tumpuan kita terhad. Walaupun sesetengah orang mungkin belajar untuk “melakukan pelbagai tugas serentak” hingga tahap tertentu, tiada sesiapa pun dapat terus-menerus membahagikan perhatian antara kehadiran Allah dengan gangguan dunia.
Ada yang mungkin berhujah bahawa kita perlu melibatkan diri dalam dunia masa kini. Tidak mungkin kita terus-menerus berdoa dan hanya memikirkan Allah. Namun, mereka yang tergoda untuk berfikir demikian tidak memahami kepekaan dan sikap berjaga-jaga yang menjadi panggilan kita.
Berjaga-jaga dan peka bermaksud Allah menjadi pusat kehidupan kita serta dorongan dan tujuan segala yang kita lakukan setiap hari. Kasih dan pelayanan kita kepada Allah tidak boleh berbelah bahagi. Kita tidak boleh memperuntukkan sebahagian waktu untuk dunia dan waktu yang lain untuk Allah. Sebaliknya, segala yang kita lakukan, setiap hari, sepanjang hari, mestilah menjadikan kemuliaan Allah dan pelaksanaan kehendak-Nya yang sempurna sebagai tujuan utama dan satu-satunya dalam kehidupan kita. Oleh itu, jika kita berinteraksi dengan dunia, melayari media sosial, menyelesaikan kerja rumah, bekerja lebih masa, dan sebagainya, kita mesti sentiasa merenungkan soalan yang mudah ini, “Tuhan, adakah aku melakukan ini demi kemuliaan-Mu dan selaras dengan kehendak-Mu?” Kita tidak boleh sekali-kali lalai menanyakan soalan itu kepada diri sendiri. Kita mesti sentiasa menjadikan kemuliaan Allah dan pelaksanaan kehendak-Nya sebagai tujuan utama dan dorongan bagi segala yang kita lakukan. Jika kita dapat hidup dengan cara ini, kita akan mendapati bahawa semakin mudah untuk sentiasa dan di mana-mana pun peka serta berjaga-jaga terhadap kehendak Allah.
Renungkanlah hari ini perkara yang paling kerap mendapat perhatian anda. Apakah yang paling banyak anda fikirkan setiap hari? Terhadap apakah anda paling peka dan berjaga-jaga? Jika jawapan kepada soalan itu bukanlah dorongan Allah dan rahmat-Nya yang berterusan, maka sedarilah hakikat itu. Berdoalah dengan rendah hati agar anda dapat berubah dan mula membentuk tabiat yang mengubah hidup, iaitu setiap hari menumpukan perhatian kepada Tuhan kita supaya Dia menjadi pembimbing dan tumpuan anda setiap hari dalam segala hal.
Tuhan, sumber segala rahmat, Engkau datang kepadaku siang dan malam, berbicara kepadaku, memanggilku dan ingin membimbingku. Semoga aku belajar menumpukan seluruh perhatianku kepada-Mu setiap hari agar hanya Engkau dan kehendak-Mu yang kudus sentiasa memimpinku. Yesus, aku percaya kepada-Mu.
Novena kepada Maria yang Dikandung Tanpa Noda
29 November – 7 Disember
Novena Krismas Santo Andreas
Secara tradisi, didoakan 15 kali sehari dari 30 November hingga Malam Krismas.
Orang Kudus Hari Ini – Santo Fransiskus Xaverius, Paderi
Tidak dirayakan sebagai peringatan liturgi pada tahun ini kerana jatuh pada hari Minggu




