Bahasa Melayu

Suatu Perbuatan Kasih yang Teragung 

12 Januari 2024
Jumaat Minggu Pertama Masa Biasa
Bacaan Hari Ini

Video

Mereka datang membawa seorang lumpuh kepada-Nya, yang diusung oleh empat orang lelaki. Oleh sebab orang ramai, mereka tidak dapat mendekati Yesus, lalu mereka membuka bumbung di atas-Nya. Setelah membuat lubang pada bumbung itu, mereka menurunkan tikar tempat orang lumpuh itu berbaring. Markus 2:3–4

Orang lumpuh ini melambangkan orang tertentu dalam hidup kita yang kelihatan tidak mampu berpaling kepada Tuhan kita dengan usaha mereka sendiri. Jelas bahawa orang lumpuh itu ingin disembuhkan, tetapi dia tidak mampu datang kepada Tuhan kita dengan usahanya sendiri. Oleh itu, sahabat-sahabat orang lumpuh ini mengusungnya kepada Yesus, membuka bumbung (kerana orang begitu ramai), lalu menurunkan orang itu ke hadapan Yesus.

Kelumpuhan lelaki ini melambangkan sejenis dosa tertentu. Orang yang melakukan dosa ini menginginkan pengampunan tetapi tidak mampu berpaling kepada Tuhan kita dengan usahanya sendiri. Sebagai contoh, ketagihan yang serius boleh begitu menguasai kehidupan seseorang sehingga dia tidak dapat mengatasinya dengan usahanya sendiri. Dia memerlukan bantuan orang lain bahkan untuk dapat berpaling kepada Tuhan kita bagi memohon pertolongan. 

Kita masing-masing harus melihat diri kita sebagai sahabat-sahabat orang lumpuh ini. Terlalu kerap, apabila kita melihat seseorang yang terperangkap dalam kehidupan berdosa, kita hanya menghakiminya dan menjauhkan diri daripadanya. Namun, salah satu perbuatan kasih teragung yang dapat kita lakukan untuk orang lain ialah membantu menyediakan apa yang diperlukannya untuk mengatasi dosanya. Hal ini dapat dilakukan melalui nasihat kita, belas kasihan kita yang tidak berbelah bahagi, kesediaan kita untuk mendengar, dan apa sahaja perbuatan yang menunjukkan kesetiaan kita kepadanya ketika dia memerlukan bantuan dan berputus asa.

Bagaimanakah kamu memperlakukan orang yang terperangkap dalam kitaran dosa yang nyata? Adakah kamu menjeling dengan rasa jengkel lalu menjauhkan diri daripada mereka? Atau adakah kamu bertekad teguh untuk mendampingi mereka, memberikan harapan dan membantu mereka ketika mereka hampir atau langsung tidak mempunyai harapan dalam hidup untuk mengatasi dosa mereka? Salah satu anugerah teragung yang dapat kamu berikan kepada orang lain ialah anugerah harapan, dengan mendampingi mereka untuk membantu mereka berpaling sepenuhnya kepada Tuhan kita.

Renungkanlah hari ini seseorang yang kamu kenali, yang kelihatan bukan sahaja terperangkap dalam kitaran dosa tetapi juga telah kehilangan harapan untuk mengatasi dosa itu. Dalam doa, serahkanlah dirimu kepada Tuhan kita dan bertekadlah untuk melakukan perbuatan kasih dengan mengusahakan segala yang kamu mampu demi membantu orang itu berpaling sepenuhnya kepada Tuhan kita yang ilahi.

Yesusku yang amat berharga, penuhilah hatiku dengan cinta kasih terhadap mereka yang paling memerlukan Engkau tetapi kelihatan tidak mampu mengatasi dosa dalam hidup mereka yang menjauhkan mereka daripada-Mu. Semoga komitmenku yang tidak berbelah bahagi terhadap mereka menjadi suatu tindakan cinta kasih yang memberi mereka harapan yang diperlukan untuk menyerahkan hidup mereka kepada-Mu. Gunakanlah diriku, ya Tuhan yang kukasihi. Hidupku berada dalam tangan-Mu. Yesus, aku percaya kepada-Mu.

Buku pilihan:

Masa Biasa Minggu 1–17
Masa Biasa bermula pada 9 Januari

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Renungan Kitab Suci untuk Masa Biasa

Para Kudus/Perayaan Hari Ini

Pilihan Bacaan Misa

Imej utama di atas: Orang lumpuh diturunkan ke hadapan Yesus, melalui Wikimedia Commons