Bahasa Melayu

Pertaubatan yang Tulus

Ahad, 9 Jun 2024
Hari Minggu Biasa Kesepuluh (Tahun B)
Bacaan Hari Ini

Video

“Amin, Aku berkata kepadamu, segala dosa dan segala hujatan yang diucapkan orang akan diampuni. Tetapi sesiapa yang menghujat Roh Kudus tidak akan pernah mendapat pengampunan, sebaliknya dia bersalah atas dosa yang kekal.” Sebab mereka telah berkata, “Dia dirasuk roh najis.” Markus 3:28–30

Yesus mengucapkan kata-kata ini kepada orang ramai yang berkumpul di sekeliling rumah-Nya di Kapernaum kerana dua kumpulan orang baru sahaja mengecam-Nya dengan keras secara terbuka. Pertama, beberapa orang daripada kaum kerabat-Nya datang dan berkata kepada semua orang, “Dia sudah tidak waras.” Kemudian, beberapa orang ahli Taurat dari Yerusalem berkata, “Dia dirasuk Beelzebul.” Oleh itu, Yesus menyatakan dengan jelas bahawa hujatan mereka ialah dosa terhadap Roh Kudus dan akan membawa akibat yang kekal.

Mengapakah dosa-dosa tertentu tidak akan pernah diampuni? Apakah sebenarnya dosa terhadap Roh Kudus? Menurut tradisi, Gereja kita telah mengenal pasti dosa ini dalam beberapa bentuk. Pertama, dosa ini ialah keengganan untuk bertaubat hingga akhir hayat, iaitu dosa terus berdegil dalam dosa berat. Kedegilan, atau keengganan untuk bertaubat, ialah dosa yang tidak dapat diampuni, semata-mata kerana orang yang melakukannya tidak pernah memohon pengampunan. Mereka begitu terbenam dalam dosa sehingga enggan berubah. Oleh itu, kerahiman Allah tidak dapat memasuki diri mereka. Kedua, dosa ini juga dikenal pasti sebagai sikap terlalu mengandalkan pengampunan Allah, yang bermaksud seseorang berdosa sambil menjangkakan bahawa Allah akan mengampuninya. Sikap ini lebih terselindung; namun, sikap ini juga menghalang seseorang daripada pertaubatan tulus yang diperlukan untuk menerima pengampunan. Orang yang bersikap demikian tidak pernah benar-benar bertaubat dan memperbaiki hidupnya selagi dia terus berada dalam dosanya.

Daripada sekian banyak dosa yang anda perjuangkan atau yang mungkin anda perjuangkan pada masa hadapan, berikan perhatian khusus kepada dosa terhadap Roh Kudus. Walaupun kita tidak sepatutnya menganggap bahawa kita berhak mendapat pengampunan Allah, kita mesti sentiasa percaya bahawa kerahiman Allah begitu besar sehingga sebaik sahaja kita dengan rendah hati mengakui dosa kita dan dengan tulus bertaubat daripadanya, Allah akan mengampuni kita. Namun, kuncinya ialah “ketulusan.” Untuk diampuni, pertaubatan dalam diri kita mestilah tulus, sejati, nyata dan menyeluruh. Kita tidak dapat memperdayakan Allah. Kita tentu boleh memperdayakan diri sendiri, tetapi bukan Allah.

Salah satu cara terbaik untuk sentiasa memastikan bahawa anda tidak bersalah atas sebarang dosa terhadap Roh Kudus ialah dengan menerima Sakramen Pengakuan Dosa dan mengakui dosa anda secara terbuka, menyeluruh dan rendah hati. Akuilah tanggungjawab anda atas dosa anda. Akuilah dosa itu. Sesalilah dosa itu. Berazamlah untuk berubah. Kemudian, akuilah dosa itu dalam pengakuan dan percayalah akan kerahiman Allah.

Renungkanlah hari ini apa-apa kekurangan dalam ketulusan dan kesungguhan anda untuk bertaubat sepenuhnya daripada dosa. Adakah anda jujur dengan diri sendiri tentang dosa-dosa yang telah anda lakukan? Sudahkah anda menerima tanggungjawab atas dosa-dosa itu? Jika ya, sudahkah anda juga mengakuinya kepada Allah dan berazam teguh untuk tidak melakukannya lagi? Ambillah pertaubatan dengan serius supaya anda tidak sekali-kali mula tergelincir di jalan licin yang membawa kepada sebarang dosa terhadap Roh Kudus.

Tuhan yang penuh kerahiman, Engkau menawarkan pengampunan kepada semua yang datang kepada-Mu dengan rendah hati dan penyesalan yang tulus. Penuhilah diriku dengan kebajikan-kebajikan ini dan berilah aku keazaman untuk berubah seraya aku membuka diri kepada kerahiman-Mu yang tidak terselami. Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Renungan Kitab Suci untuk Masa Biasa

Para Kudus/Perayaan Hari Ini

Orang Kudus Hari Ini – Santo Efrem, Diakon dan Pujangga Gereja
Tidak dirayakan sebagai peringatan liturgi pada tahun ini kerana jatuh pada hari Ahad

Pilihan Bacaan Misa

Imej pilihan di atas: Yesus Dicobai karya Carl Bloch, melalui picryl