1 Oktober 2026
Peringatan Santa Teresia dari Kanak-kanak Yesus, Perawan dan Pujangga Gereja
Bacaan Hari Ini
Bacaan untuk Hari Khamis dalam Minggu Kedua Puluh Enam dalam Masa Biasa
Pengutusan Para Murid, oleh Lawrence OP, CC BY-NC-ND 2.0.
Video
Yesus melantik tujuh puluh dua orang murid yang lain lalu mengutus mereka berdua-dua mendahului-Nya ke setiap kota dan tempat yang hendak dikunjungi-Nya. Dia berkata kepada mereka, “Tuaian memang banyak, tetapi pekerjanya sedikit; maka mintalah kepada tuan empunya tuaian supaya menghantar pekerja untuk tuaian-Nya. Pergilah; lihatlah, Aku mengutus kamu seperti anak domba di tengah-tengah serigala.” Lukas 10:1–3
Salah satu cara paling jelas untuk menjamin keaslian dan keutuhan pelaksanaan kewajipan Kristian ialah mewartakan Injil dalam persekutuan dengan orang lain. Murid Kristus tidak pernah bergerak bersendirian. Kita tidak melaksanakan misi Kristus berdasarkan ilham peribadi atau pemahaman yang terasing daripada orang lain, tetapi dalam konteks Gereja. Injil yang kita wartakan bukanlah milik kita sendiri. Injil berasal daripada Allah, diwariskan melalui Tradisi Suci, dan diamanahkan kepada seluruh Gereja.
Ketika Yesus mengutus tujuh puluh dua orang murid, Dia mengutus mereka berdua-dua. Hal ini mempunyai makna teologi dan Kitab Suci yang mendalam. Menurut Hukum Musa, kesaksian dua atau tiga orang saksi diperlukan untuk menegakkan kebenaran (rujuk Ulangan 19:15). Ketetapan ini terkenal dalam budaya Yahudi dan secara tradisinya diterapkan dalam kes undang-undang, tetapi Yesus mengangkatnya untuk mengukuhkan kewibawaan pewartaan Injil. Dua orang murid yang bersama-sama memberikan kesaksian tentang kebenaran Injil akan berbicara dengan suatu kewibawaan moral dan rohani yang mencerminkan tradisi kuno ini. Tambahan pula, apabila kita berbicara dalam kesatuan dengan Gereja dan bertindak seiring dengan saksi-saksi lain yang setia, usaha pewartaan Injil kita yang bersatu menjadi gema Firman Allah yang harmoni, bukannya suara bersendirian yang terdedah kepada penyelewengan.
Tuhan kita sendiri pun menghormati prinsip ini. Ketika orang Farisi mempersoalkan Yesus kerana berbicara atas kewibawaan-Nya sendiri, Dia menjawab, “Sekalipun Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku sendiri, kesaksian-Ku dapat disahkan… Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku, dan Bapa yang mengutus Aku juga memberikan kesaksian tentang Aku” (rujuk Yohanes 8:14, 18). Yesus menjelaskan bahawa Dia tidak berbicara secara bersendirian; Bapa memberikan kesaksian tentang-Nya. Oleh itu, bahkan Sang Putera, dalam misi-Nya di dunia, menunjukkan teladan kerendahan hati dengan memberikan kesaksian bersama.
Fikirkanlah kewajipan anda sendiri untuk memberikan kesaksian tentang kebenaran Injil. Kedua Belas Rasul yang telah diutus oleh Yesus lebih awal mewakili para uskup Gereja, yang menjadi asas misi Kristus melalui penyertaan mereka dalam penggantian apostolik. Dalam Injil hari ini, tujuh puluh dua orang murid itu mewakili setiap murid Kristus, termasuk setiap seorang daripada kita pada hari ini. Menjadi murid jauh lebih daripada sekadar mengikuti Yesus melalui devosi peribadi kepada-Nya dan ajaran-Nya. Hal ini juga merangkumi pengutusan oleh-Nya. Setelah kita menerima Injil dan menghayatinya melalui iman yang hidup dan doa, kita akan diutus oleh Kristus untuk pergi memberikan kesaksian tentang kebenaran yang telah kita terima. Ini bukan pilihan; ini suatu keperluan.
Sejauh manakah anda melaksanakan hal ini? Kadangkala kita boleh terperangkap dalam pemikiran bahawa iman kita ialah sesuatu yang peribadi dan harus disimpan untuk diri sendiri. Namun, bukan begitu hakikatnya. Iman mesti dikongsi, dan jika kita ialah murid, maka kita juga ialah pewarta Injil.
Menjadi pewarta Injil tidak semestinya bermaksud kita menyertai kerasulan sepenuh masa dengan berkhutbah dan mengajar sambil mengembara dari satu bandar ke bandar yang lain. Bagi kebanyakan orang, pewartaan Injil berlaku dalam rentak kehidupan seharian—dalam keluarga, di tempat kerja, di kawasan kejiranan, dan dalam pergaulan sosial kita. Ini bererti menghayati iman dengan tulus, menyampaikan kebenaran dengan kasih, dan memancarkan Kristus melalui perbuatan serta kata-kata kita. Ini juga bererti bersedia memberikan kesaksian tentang Injil walaupun hal itu menimbulkan rasa kurang selesa, tidak disenangi, atau ditolak, serta melakukannya dalam kesatuan dengan saudara seiman.
Renungkanlah hari ini sama ada anda sedang memberikan kesaksian tentang kebenaran menurut cara yang diminta oleh Allah daripada anda. Sudahkah anda menerima baik keistimewaan mahupun tanggungjawab untuk diutus? Bertekadlah untuk pergi dengan keberanian seekor anak domba di tengah-tengah serigala, tidak pernah bersendirian, tetapi sentiasa dalam persekutuan dengan Kristus dan Gereja-Nya, sambil memberikan kesaksian tentang Kerajaan yang sudah dekat. Dengan berbuat demikian, anda bukan sahaja akan membawa berkat kepada orang lain, malah akan memperdalam iman dan persekutuan anda dengan Allah.
Tuhanku dan Firman yang Hidup, suara-Mu harus sampai ke hujung bumi, menarik ramai orang kepada-Mu melalui anggota Tubuh Mistik-Mu, iaitu Gereja. Dekatkanlah aku kepada-Mu, ya Tuhan yang kukasihi, dan apabila aku sudah bersedia, utuslah aku bersama orang lain untuk memberikan kesaksian tentang Kebenaran Firman-Mu yang menyelamatkan. Gunakanlah aku sebagai alat rahmat-Mu, agar melalui kesaksianku, Engkau dapat menarik banyak jiwa ke dalam kemuliaan Kerajaan-Mu yang Kekal. Yesus, aku percaya kepada-Mu.
Orang Kudus Hari Ini – Santa Teresia dari Kanak-kanak Yesus, Perawan dan Pujangga Gereja—Peringatan
Renungan Kitab Suci untuk Masa Biasa






