Bahasa Melayu

Perairan Iman yang Dalam

Ahad, 10 Februari 2019

Hari Minggu Biasa Kelima, Tahun C

Bacaan Hari Ini

Santa Skolastika, Perawan – Peringatan

“Bertolaklah ke perairan yang dalam dan labuhkanlah jalamu untuk menangkap ikan.”  Lukas 5:4

Menarik untuk diperhatikan bahawa Yesus bukan sekadar menyuruh Petrus dan para Rasul bertolak ke perairan; sebaliknya, Dia menyuruh mereka bertolak ke “perairan yang dalam.”  Hal ini mempunyai makna yang penting.

Pada penghujung Tahun Yubileum Agung 2000, Santo Paus Yohanes Paulus II menulis sepucuk surat apostolik, Novo Millennio Ineunte yang dimulakannya dengan memetik petikan Injil ini.  Petikan ini menjadi dasar bagi keseluruhan suratnya, yang menyerukan penginjilan baharu untuk milenium yang akan datang.

“Bertolaklah ke tempat yang dalam!”  Apakah yang patut kita pelajari daripada kata-kata ini?  Apakah yang patut kita dengar daripada Yesus yang berbicara kepada kita?  Kita patut mendengar Dia memanggil kita untuk “melabuhkan jala kita” tanpa mengenal penat dan dengan penuh komitmen agar dapat menarik ramai orang lain kepada Injil.  Apabila Petrus dan para Rasul berbuat demikian di dalam perahu, mereka menangkap begitu banyak ikan sehingga jala mereka mula koyak dan mereka sangat takjub.  Tindakan ini diberikan kepada kita sebagai suatu tanda kenabian yang menyatakan bahawa kita mesti menginjil dengan semangat dan kesungguhan yang sepenuhnya, mencari domba-domba Allah yang hilang di merata tempat.

Dunia yang kita diami ini kadangkala boleh menjadi kejam.  Begitu ramai orang tersesat dan keliru.  Dosa berleluasa dan keputusasaan tersebar luas.  Dunia kita amat memerlukan seorang Penyelamat, dan kitalah yang ingin digunakan oleh Yesus untuk memperoleh hasil tangkapan yang besar dan mencari mereka yang paling memerlukan.  Yesus menghendaki para Rasul menangkap ikan di perairan yang dalam sebagai suatu cara untuk menyatakan bahawa terdapat begitu banyak jiwa di dunia kita yang jauh daripada Allah.  Ramai orang sedang “berenang” dalam lautan kekeliruan dan kepedihan.  Mereka inilah khususnya yang ingin ditarik oleh Yesus kepada-Nya.  Menjadi tanggungjawab kita untuk mengindahkan perintah Tuhan kita dan mencari mereka.

Renungkanlah hari ini kata-kata Yesus ini: “Bertolaklah ke perairan yang dalam.”  Dalam hal apakah Yesus meminta anda berbuat demikian?  Bagaimanakah Dia memanggil anda untuk keluar dari zon selesa anda dan “melabuhkan jala anda?”  Apakah yang dikehendaki-Nya daripada anda, dan bagaimanakah Dia ingin menggunakan anda untuk memajukan misi penginjilan?  Indahkanlah perintah-Nya dan anda juga akan takjub melihat buah baik yang terhasil!

Tuhan, aku ingin menyerahkan diriku kepada-Mu untuk berkhidmat bagi-Mu dan demi kemuliaan-Mu.  Aku ingin pergi, atas perintah-Mu, mencari jiwa-jiwa yang paling memerlukan kerahiman-Mu yang melimpah.  Kurniakanlah kepadaku rahmat yang kuperlukan untuk setia kepada panggilan yang telah Engkau berikan kepadaku, supaya kerahiman-Mu yang penuh kasih menjangkau mereka yang paling memerlukannya.  Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Orang Kudus Hari Ini – Santa Skolastika