10 Jun 2020
Rabu dalam Minggu Biasa Kesepuluh
Bacaan Hari Ini

“Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, selagi langit dan bumi belum lenyap, satu huruf yang paling kecil atau bahagian huruf yang paling kecil pun tidak akan lenyap daripada hukum, sehingga segala-galanya telah berlaku.” Matius 5:18
Ini ialah suatu pernyataan Yesus yang menarik. Banyak yang boleh dikatakan tentangnya berhubung dengan hukum dan bagaimana Yesus menggenapi hukum itu. Namun, satu perkara yang wajar direnungkan ialah betapa bersungguh-sungguhnya Yesus menekankan kepentingan bukan sahaja satu huruf dalam hukum, tetapi lebih khusus lagi, bahagian yang paling kecil daripada satu huruf.
Hukum Allah yang tertinggi, sebagaimana yang digenapi dalam Kristus Yesus, ialah kasih. “Hendaklah engkau mengasihi Tuhan, Allahmu, dengan segenap hatimu, dengan segenap akal budimu, dengan segenap jiwamu dan dengan segenap kekuatanmu.” Dan, “Hendaklah engkau mengasihi sesamamu seperti dirimu sendiri.” Inilah penggenapan hukum Allah yang paling sempurna.
Jika kita melihat petikan di atas dalam terang kesempurnaan hukum kasih, kita dapat mendengar Yesus mengatakan bahawa setiap perincian kasih, bahkan yang paling kecil sekalipun, amat penting. Sesungguhnya, perkara-perkara kecil itulah yang membuat kasih bertumbuh berlipat ganda. Semakin kecil perkara yang diberi perhatian dalam mengasihi Allah dan sesama, semakin sempurnalah hukum kasih itu digenapi hingga ke tahap yang tertinggi.
Renungkanlah hari ini mereka yang telah Allah tempatkan dalam hidup anda untuk anda kasihi. Hal ini terutama sekali melibatkan anggota keluarga, khususnya pasangan suami isteri. Sejauh manakah anda memberikan perhatian kepada setiap perbuatan kecil yang penuh kebaikan dan belas kasihan? Adakah anda sentiasa mencari peluang untuk mengucapkan kata-kata yang memberi semangat? Adakah anda berusaha, bahkan dalam perkara yang paling kecil sekalipun, untuk menunjukkan bahawa anda mengambil berat, hadir di sisi mereka dan prihatin terhadap mereka? Kasih terletak pada perkara-perkara kecil, dan perkara-perkara kecil itu memperhebat penggenapan hukum kasih Allah yang mulia ini.
Tuhan, bantulah aku untuk peka terhadap segala cara yang besar dan begitu banyak cara yang kecil untuk mengasihi-Mu dan sesama, sebagaimana aku dipanggil untuk melakukannya. Bantulah aku, khususnya, untuk mencari peluang yang paling kecil sekalipun untuk menunjukkan kasih ini dan dengan demikian menggenapi hukum-Mu. Yesus, aku percaya kepada-Mu.
Novena kepada Hati Yesus Yang Mahakudus
Tarikh novena:10-18 Jun 2020
19 Jun 2020: Hari Raya Hati Yesus Yang Mahakudus





