2 Julai 2020
Khamis dalam Minggu Ketiga Belas Masa Biasa
Bacaan Hari Ini

Apabila Yesus melihat iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Tabahkanlah hatimu, anak, dosa-dosamu telah diampuni.” Matius 9:2b
Kisah ini berakhir dengan Yesus menyembuhkan orang lumpuh itu dan menyuruhnya, “Bangunlah, angkatlah usunganmu dan pulanglah.” Orang itu berbuat tepat seperti yang disuruh, dan orang ramai pun takjub.
Dua mukjizat berlaku di sini. Satu bersifat jasmani dan satu lagi bersifat rohani. Mukjizat rohani itu ialah pengampunan dosa orang ini. Mukjizat jasmani pula ialah penyembuhan kelumpuhannya.
Antara kedua-dua mukjizat ini, yang manakah lebih penting? Pada pendapat anda, yang manakah paling diinginkan oleh orang itu?
Soalan kedua sukar dijawab kerana kita tidak mengetahui fikiran orang itu, tetapi soalan pertama mudah dijawab. Penyembuhan rohani, iaitu pengampunan dosanya, jauh lebih penting antara kedua-dua mukjizat ini. Inilah yang paling bermakna kerana kesannya terhadap jiwanya berkekalan hingga keabadian.
Bagi kebanyakan kita, mudah untuk berdoa kepada Allah bagi memohon perkara seperti penyembuhan jasmani atau yang seumpamanya. Kita mungkin berasa agak mudah untuk memohon pertolongan dan berkat daripada Allah. Tetapi semudah manakah bagi kita untuk memohon pengampunan? Hal ini mungkin lebih sukar bagi ramai orang kerana kita perlu terlebih dahulu merendahkan hati. Kita perlu terlebih dahulu mengakui bahawa kita ialah orang berdosa yang memerlukan pengampunan.
Mengakui bahawa kita memerlukan pengampunan menuntut keberanian, tetapi keberanian ini merupakan suatu kebajikan yang luhur dan memperlihatkan kekuatan watak yang besar dalam diri kita. Datang kepada Yesus untuk memohon kerahiman dan pengampunan-Nya dalam hidup kita ialah doa terpenting yang dapat kita panjatkan serta asas bagi segala doa kita yang lain.
Renungkanlah hari ini sejauh mana anda berani memohon pengampunan daripada Allah dan sejauh mana anda sanggup merendahkan hati untuk mengakui dosa anda. Merendahkan hati seperti ini merupakan salah satu perkara terpenting yang dapat anda lakukan.
Tuhan, berilah aku keberanian. Berilah aku keberanian, khususnya untuk merendahkan diri di hadapan-Mu dan mengakui segala dosaku. Dalam pengakuan yang rendah hati ini, bantulah aku juga untuk memohon pengampunan-Mu setiap hari dalam hidupku. Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.
Gambar: Kristus menyembuhkan orang lumpuh di kolam Betesda oleh Peter van Lint




