5 Mac 2021
Jumaat dalam Minggu Prapaskah Kedua
Bacaan Hari Ini

Video
“Oleh itu, Aku berkata kepadamu, Kerajaan Allah akan diambil daripadamu dan diberikan kepada suatu bangsa yang akan menghasilkan buahnya.” Matius 21:42
Adakah anda tergolong dalam kalangan mereka yang daripadanya Kerajaan Allah akan diambil? Atau dalam kalangan mereka yang akan menerimanya supaya menghasilkan buah yang baik? Ini ialah soalan penting yang perlu dijawab dengan tulus.
Golongan pertama, iaitu mereka yang daripadanya Kerajaan Allah akan diambil, diwakili dalam perumpamaan ini oleh para penyewa kebun anggur. Jelaslah bahawa salah satu dosa terbesar mereka ialah ketamakan. Mereka mementingkan diri sendiri. Mereka melihat kebun anggur itu sebagai tempat untuk memperkaya diri sendiri dan kurang mengambil berat tentang kebaikan orang lain. Malangnya, cara berfikir seperti ini mudah meresap ke dalam kehidupan kita sendiri. Kita mudah melihat kehidupan sebagai rentetan peluang untuk kita “maju ke hadapan.” Kita mudah menjalani kehidupan dengan sentiasa mengutamakan kepentingan diri sendiri, dan bukannya dengan tulus mengusahakan kebaikan orang lain.
Golongan kedua, iaitu mereka yang akan menerima Kerajaan Allah supaya menghasilkan buah yang baik, ialah mereka yang memahami bahawa tujuan utama kehidupan bukanlah sekadar memperkaya diri sendiri, tetapi berkongsi kasih Allah dengan orang lain. Mereka inilah yang sentiasa mencari jalan untuk benar-benar menjadi berkat kepada orang lain. Inilah perbezaan antara sikap mementingkan diri sendiri dengan kemurahan hati.
Namun, kemurahan hati yang terutama sekali menjadi panggilan kita adalah untuk membangunkan Kerajaan Allah. Hal ini dilakukan melalui karya amal kasih, tetapi amal kasih itu mestilah didorong oleh Injil dan menjadikan Injil sebagai tujuan akhirnya. Menjaga mereka yang memerlukan, mengajar, melayani dan sebagainya hanya baik apabila Kristus menjadi pendorong dan matlamat akhirnya. Kehidupan kita mesti menjadikan Yesus semakin dikenali dan dikasihi, semakin difahami dan diikuti. Malah, sekalipun kita memberi makan kepada ramai orang yang hidup dalam kemiskinan, menjaga mereka yang sakit, atau melawat mereka yang kesunyian, tetapi melakukannya atas sebab-sebab selain daripada tujuan akhir untuk berkongsi Injil Yesus Kristus, maka usaha kita tidak akan menghasilkan buah yang baik bagi membangunkan Kerajaan Syurga. Dalam hal itu, kita hanya akan menjadi dermawan, bukannya pewarta kasih Allah.
Renungkanlah hari ini misi yang diberikan oleh Tuhan kita kepada anda untuk menghasilkan buah yang baik dengan berlimpah demi membangunkan Kerajaan-Nya. Ketahuilah bahawa hal ini hanya dapat dicapai dengan mencari dalam doa cara Allah mengilhami anda untuk bertindak. Berusahalah untuk melaksanakan kehendak-Nya semata-mata supaya segala yang anda lakukan adalah demi kemuliaan Allah dan keselamatan jiwa-jiwa.
Rajaku yang mulia, aku berdoa agar Kerajaan-Mu berkembang dan agar banyak jiwa mengenali Engkau sebagai Tuhan dan Allah mereka. Gunakanlah aku, ya Tuhan yang kukasihi, untuk membangunkan Kerajaan itu dan bantulah agar segala tindakanku dalam kehidupan menghasilkan buah yang baik dengan berlimpah. Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.
40 Hari di Kaki Salib – Renungan Keenam Belas – Mukjizat yang Terbesar
Renungan Kitab Suci untuk Masa Prapaskah





