29 Januari 2022
Hari Sabtu dalam Minggu Ketiga Masa Biasa
Bacaan Hari Ini

Yesus berada di buritan, sedang tidur beralaskan bantal. Mereka membangunkan-Nya dan berkata kepada-Nya, “Guru, tidakkah Engkau peduli bahawa kami sedang binasa?” Dia pun bangun, mengherdik angin, lalu berkata kepada laut, “Diam! Tenanglah!” Angin pun reda dan keadaan menjadi sangat tenang. Markus 4:38-39
Dan keadaan pun menjadi sungguh tenang! Walaupun kata-kata ini merujuk kepada laut yang menjadi tenang, kata-kata ini juga menyampaikan suatu pesanan tentang pergolakan yang kadangkala kita hadapi dalam hidup. Yesus ingin membawa ketenangan yang mendalam ke dalam hidup kita.
Begitu mudah sekali kita berasa tawar hati dalam hidup. Begitu mudah sekali kita tertumpu pada kekacauan di sekeliling kita. Sama ada kata-kata kasar dan menyakitkan daripada orang lain, masalah keluarga, pergolakan awam, kebimbangan kewangan dan sebagainya, ada banyak sebab bagi setiap seorang daripada kita untuk terjebak dalam ketakutan, kekecewaan, kemurungan dan keresahan.
Namun, justeru itulah Yesus membiarkan peristiwa ini berlaku kepada murid-murid-Nya. Dia menaiki perahu bersama murid-murid-Nya dan membiarkan mereka mengalami ribut yang dahsyat ketika Dia tidur, supaya melalui pengalaman ini, Dia dapat menyampaikan mesej yang jelas dan meyakinkan kepada kita semua.
Dalam kisah ini, murid-murid tertumpu pada satu perkara: Mereka sedang binasa! Laut mengumbang-ambingkan mereka dan mereka takut akan bencana yang bakal menimpa. Namun, sepanjang semua itu, Yesus berada di situ, tidur dengan nyenyak, menantikan mereka membangunkan-Nya. Dan apabila mereka membangunkan-Nya, Dia menguasai ribut itu dan membawa ketenangan yang sempurna.
Begitu juga dalam hidup kita. Kita begitu mudah tergugat oleh tekanan dan kesukaran hidup seharian. Kita begitu kerap membiarkan diri kita dikuasai oleh masalah yang kita hadapi. Kuncinya ialah mengarahkan pandangan kita kepada Yesus. Lihatlah Dia di situ, di hadapan anda, sedang tidur dan menantikan anda membangunkan-Nya. Dia sentiasa ada, sentiasa menanti, sentiasa bersedia.
Membangunkan Tuhan kita semudah mengalihkan pandangan kita daripada laut yang bergelora dan menaruh kepercayaan pada kehadiran ilahi-Nya. Segala-galanya berpaut pada kepercayaan. Kepercayaan yang sepenuhnya dan tidak goyah. Adakah anda menaruh kepercayaan kepada-Nya?
Renungkanlah hari ini perkara yang menyebabkan anda berasa cemas, takut atau keliru setiap hari. Apakah yang seolah-olah mengumbang-ambingkan anda sehingga membuat anda tertekan dan bimbang? Ketika anda melihat beban ini, lihatlah juga Yesus yang berada di situ bersama anda, menantikan anda datang kepada-Nya dengan penuh kepercayaan agar Dia dapat mengendalikan setiap situasi yang anda hadapi dalam hidup. Dia mengasihi anda dan sesungguhnya akan menjaga anda.
Tuhanku yang sedang tidur, aku berpaling kepada-Mu di tengah-tengah cabaran hidup dan ingin membangunkan-Mu agar Engkau datang menolongku. Aku tahu Engkau sentiasa dekat, menantikan aku untuk menaruh kepercayaan kepada-Mu dalam segala hal. Bantulah aku untuk mengarahkan pandanganku kepada-Mu dan beriman akan kasih-Mu yang sempurna terhadapku. Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.
Renungan Kitab Suci untuk Masa Biasa
Imej pilihan di atas: Yesus Meredakan Ribut karya James Tissot, melalui Wikimedia Commons




