15 Februari 2022
Hari Selasa dalam Minggu Keenam Masa Biasa
Bacaan Hari Ini

Yesus berpesan kepada mereka, “Berjaga-jagalah, waspadalah terhadap ragi orang Farisi dan ragi Herodes.” Markus 8:15
Apakah “ragi” yang dimaksudkan oleh Yesus ini? Setelah memberikan amaran ini kepada murid-murid-Nya, Yesus menjelaskan kepada mereka apa yang dimaksudkan-Nya dan apa yang tidak dimaksudkan-Nya. Namun, penjelasan itu pun nampaknya di luar pemahaman mereka. Maka Dia mengakhirinya dengan berkata, “Masihkah kamu belum mengerti?” Hingga hari ini, Yesus masih mengajukan soalan ini kepada setiap seorang daripada kita.
Sudah tentu, Yesus sedang berusaha mengajak mereka berfikir, mendengar dan melihat dengan lebih mendalam. Dia memperingatkan mereka, “Berjaga-jagalah!” Waspadalah terhadap ragi ini. Inilah amaran yang lahir daripada kasih untuk membantu mereka melihat dan memahami suatu bahaya yang benar-benar nyata.
Sesiapa yang membuat roti tahu kesan sedikit sahaja ragi (seperti yis) dalam adunan. Tambahkan sedikit sahaja, dan seluruh buku roti akan terjejas olehnya. Jika seorang kanak-kanak membantu membuat roti, dia mungkin akan datang semula beberapa kali untuk melihat adunan itu mengembang sedikit demi sedikit. Sungguh menarik untuk diperhatikan. Dan semua ini terjadi hanya kerana sedikit yis itu.
Jadi, apakah ragi orang Farisi dan Herodes ini? Ragi itu ialah kata-kata jahat, niat jahat dan kekeliruan yang mereka sebarkan. Bagi orang Farisi, mungkin ia hanyalah sedikit salah faham atau gambaran yang tidak tepat tentang apa yang dikatakan atau dilakukan oleh Yesus. Mereka mungkin memutarbelitkan kata-kata-Nya atau sekadar menyampaikan pandangan mereka kepada orang lain tanpa kata-kata. Hal ini mudah menular dan berpotensi mempengaruhi semua orang. Sedikit demi sedikit, benih-benih kecil keraguan dan penentangan yang mereka semai membawa kesan buruk kepada orang lain.
Kita mungkin cenderung memikirkan semua orang yang kita kenal yang berbuat “begitu”. Namun, kita akan terlepas peluang penting untuk bertumbuh jika kita tidak terlebih dahulu melihat diri sendiri. Adakah aku kadangkala berbuat demikian? Adakah aku mengatakan sesuatu yang mengelirukan, walaupun sedikit atau secara halus? Atau adakah aku mengelirukan orang lain melalui sikap negatifku yang tidak diungkapkan dengan kata-kata? Adakah aku kadangkala menjadi seorang yang “negatif”?
Tidak perlu berasa bersalah atau kecewa dengan diri sendiri jika kita tersedar akan kesalahan kita. Sebaliknya, kita patut merenungkan pengajaran ringkas Yesus ini untuk menyedari betapa besarnya kuasa kata-kata kita. Kata-kata yang paling kecil sekalipun boleh mendatangkan kemudaratan besar dari semasa ke semasa.
Namun, bukan itu sahaja yang patut kita tumpukan. Sama pentingnya untuk menyedari bahawa kata-kata ringkas penuh kasih yang kita ucapkan juga berpotensi membawa perubahan besar dari semasa ke semasa. Mungkin hanya sekuntum senyuman kecil yang kita berikan atau suatu perbuatan baik yang kita sangka tidak disedari orang. Perbuatan dan kata-kata kecil ini ialah ragi Injil. Semua ini benar-benar membawa perubahan dan juga boleh menular.
Renungkanlah hari ini perkara-perkara kecil dalam kehidupan. Sedarlah bahawa dosa-dosa kecil dan perbuatan-perbuatan kecil yang penuh kasih ini akhirnya membawa kesan yang besar.
Tuhanku yang penuh perhatian, bantulah aku untuk bersikap jujur dan melihat jenis ragi yang aku semaikan setiap hari. Bantulah aku agar dibersihkan daripada yang buruk dan dipenuhi dengan yang baik. Semoga Engkau mengilhamkan aku untuk menjadi ragi yang baik itu dalam segala interaksiku setiap hari. Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.
Renungan Kitab Suci untuk Masa Biasa




