Bahasa Melayu

Mengampuni Sepenuhnya

20 Februari 2022
Hari Minggu Biasa Ketujuh, Tahun C
Bacaan Hari Ini

Video

“Janganlah menghakimi, maka kamu tidak akan dihakimi. Janganlah menghukum, maka kamu tidak akan dihukum. Ampunilah, maka kamu akan diampuni.”  Lukas 6:37

Adakah anda menghakimi orang lain?  Menghakimi orang lain memang mudah.  Kadangkala kita baru sahaja bertemu seseorang, namun sudah membuat penilaian tertentu tentang dirinya.  Mungkin pada pertemuan pertama itu, dia tidak semesra yang kita harapkan, lalu kita terus menghakiminya.  Sudah tentu, hal ini kadangkala boleh berlaku bahkan sebelum kita bertemu orang itu.  Atau, hal ini juga boleh berlaku dalam hubungan yang telah lama terjalin.

Adakah anda menghukum orang lain?  Sikap menghukum hadir dalam dua bentuk.  Pertama, kita mungkin telah membuat penilaian yang salah terhadap seseorang, lalu menjatuhkan hukuman yang tidak berasas terhadapnya.  Kedua, kita mungkin menilai sesuatu keadaan dengan betul, iaitu bahawa orang itu bersalah kerana melakukan suatu dosa, lalu bertindak seolah-olah kita berhak menghukumnya.  Kita bertindak seakan-akan kita berhak menjatuhkan hukuman ke atasnya.

Sikap menghakimi mahupun menghukum jauh sekali daripada kebajikan Kristian.  Kedua-duanya sama sekali tidak sihat atau suci. Oleh itu, cara untuk mengatasinya adalah melalui kerahiman dan pengampunan.

Adakah anda mengampuni?  Selalunya, mengampuni itu sukar.  Pengampunan mesti diberikan dengan mengambil kira kecenderungan kita untuk menghakimi dan menghukum orang lain.  Pertama sekali, pengampunan menyembuhkan kecenderungan untuk menghukum kerana pengampunan mengakui sesuatu kesalahan tetapi tetap mengampuninya tanpa menuntut agar suatu “hukuman”, boleh dikatakan, dikenakan ke atas orang yang bersalah itu.  Pengampunan tidak bermakna bahawa kesalahan itu boleh diterima atau tidak pernah berlaku.  Sebaliknya, pengampunan dalam hal ini melihat dengan jelas bahawa dosa itu memang dosa.  Namun, setelah dosa itu diakui, pengampunan mengampuninya. Hal ini amat penting apabila kita mengampuni dalam suatu hubungan yang rapat.  Berpura-pura bahawa sesuatu kelukaan atau dosa tidak pernah berlaku bukanlah sikap yang sihat, tetapi mengampuni dosa yang memang ada sentiasa merupakan sikap yang sihat. 

Dalam hal menghakimi, pengampunan melangkaui sekadar mengampuni sesuatu dosa.  Pengampunan juga harus menggerakkan kita sehingga kita tidak lagi membuat penilaian tentang kesalahan orang lain.  Kita menahan diri daripada menghakimi.  Hal ini amat jelas dalam kata-kata Yesus di Salib ketika Dia bersabda, “Bapa, ampunilah mereka, kerana mereka tidak tahu apa yang mereka lakukan.”  Dia bahkan tidak membiarkan diri-Nya menghakimi mereka yang menjatuhkan hukuman mati ke atas-Nya.  Dia tidak menyimpan apa-apa dendam terhadap mereka dan bersangka baik tentang niat mereka.  “Mereka tidak tahu apa yang mereka lakukan.”  Hal ini memerlukan kasih dan kerahiman yang amat mendalam.

Renungkanlah hari ini kemampuan anda sendiri untuk mengampuni sepenuhnya.  Mulakan dengan melepaskan sikap menghukum dosa orang lain.  Kemudian, cubalah membiarkan Tuhan kita membawa anda selangkah lebih dekat kepada hati-Nya yang penuh kerahiman dan sempurna, dengan melepaskan juga sikap menghakimi.  Biarlah Allah menjadi hakim.  Bagi pihak anda, berusahalah hanya untuk mengampuni.

Tuhan yang maha berbelas kasihan, bantulah aku mengampuni semua orang yang telah menyakiti hatiku dan semua orang yang terhadap mereka aku berasa marah.  Bebaskanlah aku daripada beban menghukum dan menghakimi, dan gantikanlah kecenderungan ini dengan hati-Mu yang penuh kerahiman.  Semoga aku meneladani pengampunan-Mu yang sempurna dalam hidupku.  Yesus, aku percaya kepada-Mu.

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Renungan Video: Kasihilah Musuhmu?

Renungan Kitab Suci untuk Masa Biasa

Para Kudus/Perayaan Hari Ini

Pilihan Bacaan Misa

Imej utama di atas: Yesus di tengah-tengah para ahli agama di Bait Suci oleh Paolo Veronese, melalui Wikimedia Commons