Bahasa Melayu

Kerahiman yang Tidak Dapat Diselami

2 Mac 2026
Isnin Minggu Kedua Prapaskah
Bacaan Hari Ini

Imej melalui Adobe Stock

Video

Yesus berkata kepada murid-murid-Nya: “Hendaklah kamu berbelas kasihan, sebagaimana Bapamu berbelas kasihan.” Lukas 6:36

Apakah kerahiman? Bagaimanakah Bapa di Syurga menunjukkan kerahiman-Nya? Katakanlah seseorang menjalani kehidupan yang bertentangan dengan kehendak Allah. Apabila orang itu meninggal dunia dan berdiri di hadapan Takhta Pengadilan Allah, adakah Allah, dalam kerahiman-Nya, akan berkata, “Tidak mengapa, kamu boleh masuk ke Syurga walaupun kamu tidak layak”? Atau dalam kehidupan kita, jika seseorang secara terang-terangan menjalani gaya hidup berdosa yang secara objektif bertentangan dengan hukum moral Allah, patutkah kita berkata, “Jika hidup begitu membuat kamu bahagia, saya pun tumpang gembira untuk kamu”? Kedua-duanya tidak menggambarkan kerahiman yang sejati.

Selepas memberitahu kita, “Hendaklah kamu berbelas kasihan, sebagaimana Bapamu berbelas kasihan,” Yesus menjelaskan maksud-Nya. Pertama, Dia memberitahu kita perkara yang tidak boleh kita lakukan: “Jangan menghakimi…Jangan menghukum.” Allah, dan hanya Allah, mempunyai kuasa untuk menghakimi dan menghukum. Kita tidak mempunyai kuasa itu. Oleh itu, apabila kita menghakimi dan menghukum orang lain, kita merampas kuasa Allah. Hanya Allah yang melihat hati; oleh itu, hanya Allah yang boleh menghakimi seseorang.

Namun, perintah “Jangan menghakimi” dan “Jangan menghukum” mesti dilaksanakan dari dua sudut pandangan. Di satu pihak, kita tidak sepatutnya menghakimi seseorang sebagai pendosa yang layak dihukum. Di pihak yang lain, kita tidak sepatutnya menyatakan bahawa seseorang itu benar dari segi moral, khususnya apabila tindakannya bertentangan dengan hukum yang telah diwahyukan oleh Allah. Jadi, apakah yang harus kita lakukan? Kita membataskan penilaian kita kepada tindakan moral secara objektif berdasarkan apa yang telah diwahyukan oleh Allah, sambil menyerahkan kepada Allah untuk menghukum hati seseorang atau menyatakannya tidak bersalah. Hal ini akan membebaskan kita daripada kemarahan dan membolehkan kita mengungkapkan kasih yang sejati.

Sebagai contoh, jika dua orang hidup sebagai suami isteri walaupun mereka belum berkahwin, kita patut mencari peluang untuk menyatakan harapan kita agar mereka berkahwin dan bukannya terus hidup bersama tanpa berkahwin. Ini bukanlah penghukuman terhadap jiwa mereka, tetapi pewartaan hukum moral Allah yang objektif. Inilah Injil, dan kita mesti menyampaikannya dengan kebaikan hati, kesabaran dan kejelasan. Tambahan pula, jika kita menyatakan kepada orang yang sama bahawa kita entah bagaimana tumpang gembira untuk mereka dan menyokong cara hidup bersama mereka, kita juga secara salah menghakimi bahawa mereka berada dalam rahmat Allah, dan perbuatan kita ini sama berdosanya. Oleh itu, tidak menghakimi dan tidak menghukum bermakna kita menumpukan perhatian pada tindakan yang objektif, bukan pada hati. Hal ini mungkin sukar, khususnya apabila melibatkan mereka yang paling rapat dengan kita, tetapi amat penting dalam mengamalkan kerahiman yang sejati.

Apa yang Yesus katakan seterusnya lebih mencabar lagi: “Ampunilah” dan “berilah.” Sebagai dorongan tambahan, Yesus menjelaskan bahawa kita hanya akan diampuni apabila kita mengampuni orang lain, dan pemberian yang baik hanya akan diberikan kepada kita apabila kita memberi. Pengampunan dan kemurahan hati ialah tindakan yang menunjukkan kerahiman yang besar. Mengampuni bermakna menawarkan pengampunan kepada seseorang yang telah melakukan suatu dosa terhadap kita. Walaupun kita tidak pernah mengetahui hati seseorang dan, oleh itu, sejauh mana dia bersalah atas sesuatu tindakan, ada banyak ketikanya kesalahan dilakukan terhadap kita. Dalam keadaan ini, hanya ada satu respons yang wajar: mengampuni serta menunjukkan kebaikan hati, belas kasihan dan kerahiman. Kita sama sekali tidak boleh menyimpan dendam, terus marah, merajuk kerana disakiti, atau terus mengungkit dosa seseorang terhadapnya. Sama sekali tidak.

Cabarannya ialah akal manusia semata-mata tidak dapat memahami hal ini sepenuhnya. Kita memerlukan wahyu ilahi dan rahmat Allah untuk menerangi fikiran dan hati kita bahawa inilah perkara yang betul untuk dilakukan. Dengan mendekatkan diri kepada Kristus melalui doa dan sakramen, kita dapat bertumbuh dalam kerahiman adikodrati ini, sambil membiarkan rahmat-Nya mengubah hati kita.

Renungkanlah hari ini makna kerahiman yang sejati ini. Mohonlah agar kerahiman Allah melimpah ruah dalam hidup anda. Sambil berbuat demikian, pilihlah untuk menunjukkan kerahiman kepada orang lain sebanyak kerahiman yang anda mohon daripada Allah. Berilah dengan murah hati, melampaui apa yang dapat difahami oleh akal manusia anda semata-mata, dan Allah akan mencurahkan kerahiman-Nya ke atas anda dengan cara yang juga tidak dapat diselami.

Tuhanku yang penuh kerahiman, sering kali aku menghakimi orang lain, menyimpan dendam dan lokek menunjukkan kerahiman. Kurniakanlah kepadaku Hati-Mu agar aku dapat mengatasi kegagalanku dan memberikan diriku dengan kebajikan adikodrati. Aku ingin menjadi seperti Engkau, ya Allahku. Bantulah aku menunjukkan kerahiman dengan melimpah ruah. Yesus, aku percaya kepada-Mu.

Renungan Hari Kesebelas:
40 Hari di Padang Gurun & 40 Hari di Sisi Salib

Sumber untuk Masa Prapaskah

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Renungan Kitab Suci untuk Masa Prapaskah

Para Kudus/Perayaan Hari Ini

Pilihan Bacaan Misa


  Subscribe to our YouTube channel  
  to be notified about new content.