28 April 2022
Hari Khamis dalam Minggu Paskah Kedua
Bacaan Hari Ini
Santo Petrus Chanel, Paderi dan Martir—Peringatan Pilihan
Santo Louis Grignon de Montfort, Paderi—Peringatan Pilihan

Dia tidak mencatu kurniaan Roh-Nya. Yohanes 3:34
Pada waktu perang, apabila bekalan makanan para askar terhad, mereka perlu mencatunya. Mereka hanya makan sedikit setiap hari mengikut sukatan supaya makanan itu dapat bertahan selama yang mungkin. Jika tidak, mereka mungkin kehabisan makanan dan kebuluran.
Bagaimanakah jika begitu juga halnya dengan Allah dan rahmat-Nya? Bagaimanakah jika Roh Kudus berkata kepada kita, “Sekarang Aku hanya akan membantu kamu setakat yang tertentu sahaja. Apabila kamu sudah menghabiskan rahmat yang Aku tawarkan kepadamu, kamu perlu berdikari tanpa bantuan-Ku.” Aduh! Itu tentu akan menimbulkan masalah.
Sudah tentu, khabar baiknya ialah Allah memperlakukan kita dengan cara yang sama sekali bertentangan. Dia komited untuk mencurahkan Roh Kudus sepenuhnya dan menawarkan segala rahmat yang mungkin kita perlukan atau inginkan. Masalahnya ialah kita sering juga “mencatu” rahmat-Nya. Kita tidak berbuat demikian kerana kita percaya bahawa Allah mempunyai keterbatasan. Sebaliknya, kita sering berbuat demikian kerana kita takut membiarkan Allah menyatakan kuasa-Nya yang mahaagung dengan sepenuhnya dalam hidup kita.
Renungkanlah hari ini bagaimana rupa hidup anda jika anda membiarkan Allah melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya terhadap diri anda. Apakah yang akan berubah? Bagaimanakah kehidupan harian, hubungan, kata-kata, tindakan dan masa depan anda akan menjadi berbeza? Dari segi akal budi, kita tahu bahawa menerima kehendak Allah dengan sepenuhnya dalam segala hal ialah tindakan yang benar. Namun, apabila tiba masanya untuk benar-benar melakukannya, kita sering teragak-agak. Mungkin kita takut akan perkara yang belum kita ketahui. Atau mungkin kita belum mahu berubah sepenuhnya. Walau apa pun keadaannya, Allah menawarkan rahmat yang tidak terbatas kepada anda melalui pencurahan Roh Kudus sepenuhnya. Terpulanglah kepada anda untuk memutuskan sama ada anda akan mencatunya atau tidak.
Tuhan yang penuh kelimpahan, aku sungguh ingin membiarkan Engkau melakukan apa sahaja yang Engkau kehendaki dalam hidupku. Aku ingin tenggelam sepenuhnya dalam rahmat-Mu. Bantulah aku untuk mengatakan “Ya” kepada-Mu walau apa pun yang akan terjadi, dan bantulah aku untuk menaruh kepercayaan pada jawapan “Ya” yang mulia ini, yang Engkau panggil aku untuk mengucapkannya. Yesus, aku percaya kepada-Mu.
Para Santo dan Santa Hari Ini – Santo Petrus Chanel, Paderi dan Martir
Santo Louis Grignon de Montfort, Paderi
Imej pilihan di atas: Pencurahan Roh Kudus oleh Anthony van Dyck, melalui Wikimedia Commons




