25 Ogos 2022
Khamis dalam Minggu Biasa Kedua Puluh Satu
Bacaan Hari Ini
Santo Louis, Raja—Peringatan Pilihan
Santo Yosef dari Calasanz, Paderi—Peringatan Pilihan

“Berjaga-jagalah! Kerana kamu tidak tahu pada hari mana Tuhanmu akan datang.” Matius 24:42
Bagaimana jika hari inilah harinya?! Bagaimana jika anda tahu bahawa hari ini ialah hari Tuhan kita akan kembali ke bumi dalam segala keagungan dan kemuliaan-Nya untuk menghakimi orang yang hidup dan yang mati? Adakah anda akan bertindak secara berbeza? Kemungkinan besar kita semua akan berbuat demikian. Kita mungkin akan menghubungi seberapa ramai orang yang dapat kita hubungi dan memberitahu mereka bahawa kedatangan Tuhan sudah dekat, pergi menerima Sakramen Pengakuan Dosa dan kemudian menghabiskan hari itu dengan berdoa.
Tetapi apakah tanggapan yang ideal terhadap soalan sedemikian? Jika, melalui suatu wahyu istimewa daripada Allah, anda diberitahu bahawa hari ini ialah hari Tuhan akan kembali, apakah tanggapan yang ideal? Ada yang mencadangkan bahawa tanggapan yang ideal ialah menjalani hari anda seperti hari-hari biasa. Mengapa? Kerana idealnya kita semua menjalani setiap hari seolah-olah itulah hari terakhir kita, dan setiap hari kita mengendahkan petikan Kitab Suci di atas. Setiap hari, kita berusaha untuk “berjaga-jaga” dan bersedia untuk kedatangan semula Tuhan kita pada bila-bila masa. Jika kita benar-benar menghayati petikan Kitab Suci ini, maka tidak menjadi soal sama ada Dia kembali hari ini, esok, tahun hadapan atau bertahun-tahun lagi.
Namun, panggilan untuk “berjaga-jaga” ini merujuk kepada lebih daripada sekadar kedatangan Kristus yang terakhir dan mulia. Panggilan ini juga merujuk kepada setiap saat dalam setiap hari ketika Tuhan kita datang kepada kita melalui rahmat. Panggilan ini merujuk kepada setiap dorongan kasih dan kerahiman-Nya dalam hati dan jiwa kita. Panggilan ini merujuk kepada bisikan lembut-Nya yang berterusan, yang memanggil kita untuk mendekatkan diri kepada-Nya.
Adakah anda peka terhadap kedatangan-Nya kepada anda dengan cara-cara ini setiap hari? Adakah anda peka terhadap pelbagai cara yang tidak terhitung banyaknya yang digunakan-Nya untuk memasuki hidup anda dengan lebih sepenuhnya? Walaupun kita tidak mengetahui hari Tuhan kita akan datang dalam kemenangan-Nya yang terakhir, kita tahu bahawa setiap hari dan setiap saat dalam setiap hari merupakan saat kedatangan-Nya melalui rahmat. Dengarkanlah Dia, pekalah, berwaspadalah dan berjaga-jagalah!
Tuhan sumber segala rahmat, bantulah aku mencari suara-Mu dan peka terhadap kehadiran-Mu dalam hidupku. Semoga aku sentiasa berjaga-jaga dan bersedia untuk mendengar-Mu apabila Engkau memanggil. Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.
Novena kepada Santa Monika
18–26 Ogos
Para Kudus Hari Ini –
Santo Yosef dari Calasanz, Paderi



