Bahasa Melayu

Mencari Tanda

10 Oktober 2022
Hari Isnin dalam Minggu Biasa Kedua Puluh Lapan
Bacaan Hari Ini

Video

Ketika semakin ramai orang berkumpul, Yesus berkata kepada mereka, “Angkatan ini ialah angkatan yang jahat; mereka mencari suatu tanda, tetapi tiada tanda yang akan diberikan kepada mereka selain tanda Yunus.”  Lukas 11:29

Pernahkah anda berharap agar Allah memberikan suatu tanda dari Syurga sebagai panduan atau arah yang pasti dalam hidup anda?  Adakah anda mencari tanda daripada Allah dan bergantung padanya?  

Jika Allah memberikan suatu tanda yang jelas dalam hidup kita untuk menyatakan kehendak-Nya, kita patut menerimanya sebagai anugerah dan mensyukurinya.  Namun, menerima tanda daripada Allah berbeza daripada mencari tanda daripada Allah.  Dalam petikan di atas, Yesus mengecam keras mereka yang datang untuk mencari tanda.  Mengapakah demikian?  Mengapakah Yesus begitu tegas menentang perbuatan mencari tanda?  Sebab utamanya ialah Dia mahu kita mencari-Nya melalui anugerah iman.

Yesus menyatakan bahawa tiada tanda yang akan diberikan selain tanda Yunus.  “Tanda Yunus” merujuk kepada Penyaliban Yesus, kematian-Nya, tiga hari di dalam kubur dan Kebangkitan-Nya.  Yunus berada di dalam perut ikan paus selama tiga hari.  Yesus sedang memberitahu mereka bahawa Dia akan berada di dalam kubur selama tiga hari.  

Namun, perkara yang utama ialah kematian dan Kebangkitan Yesus ITULAH tanda yang akan diberikan.  Kita tidak sepatutnya mencari apa-apa selain misteri yang menjadi inti iman kita ini.  Setiap persoalan, masalah, kebimbangan, kekeliruan dan sebagainya dapat dijawab dan ditangani jika kita hanya menyelami misteri agung penebusan kita dengan menyelami kehidupan, kematian dan Kebangkitan Kristus.  Mencari tanda selain ini adalah salah kerana perbuatan itu seolah-olah menyatakan bahawa kematian dan Kebangkitan Yesus tidak mencukupi.

Renungkanlah hari ini “tanda” teragung yang pernah diberikan oleh Allah.  Jika anda mendapati diri anda bergelut dengan persoalan hidup, arahkanlah pandangan anda kepada satu tanda yang pasti ini.  Arahkanlah pandangan anda kepada misteri yang menjadi inti iman kita: kehidupan, kematian dan Kebangkitan Kristus.  Di situlah setiap persoalan dapat dijawab dan setiap rahmat dikurniakan.  Kita tidak memerlukan apa-apa lagi selain ini.

Tuhan, kehidupan, wafat dan Kebangkitan-Mu ialah segala yang perlu kuketahui dalam hidup ini.  Pengorbanan-Mu yang sempurna memberiku segala jawapan dan mencurahkan segala rahmat.  Semoga aku sentiasa berpaling kepada-Mu sebagai tanda yang kuperlukan setiap hari.  Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.

BAHARU!


Perjalanan Batin Menuju Allah:
Renungan daripada Santa Teresa dari Ávila

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Para Kudus/Perayaan Hari Ini

Pilihan Bacaan Misa

Imej Pilihan: Yunus dan Ikan Paus oleh Pieter Lastman, melalui Wikimedia Commons