27 Februari 2024
Hari Selasa dalam Minggu Kedua Prapaskah
Bacaan Hari Ini
Santo Gregorius dari Narek, Abas dan Pujangga Gereja—Peringatan Pilihan

“Yang terbesar antara kamu haruslah menjadi pelayanmu. Sesiapa yang meninggikan dirinya akan direndahkan; tetapi sesiapa yang merendahkan dirinya akan ditinggikan.” Matius 23:11–12
Adakah anda mahu menjadi insan yang benar-benar besar? Adakah anda mahu kehidupan anda benar-benar membawa perubahan dalam kehidupan orang lain? Jauh di lubuk hati kita, hasrat untuk mencapai kebesaran ini telah ditanamkan oleh Tuhan kita, dan hasrat ini tidak akan pernah lenyap. Bahkan mereka yang hidup kekal di neraka akan terus berpegang pada hasrat semula jadi ini, yang bagi mereka akan menjadi punca kesakitan abadi, kerana hasrat itu tidak akan pernah dipenuhi. Ada kalanya, merenungkan kenyataan ini berguna sebagai dorongan untuk memastikan bahawa kita tidak mengalami nasib sedemikian.
Dalam Injil hari ini, Yesus memberi kita salah satu kunci kepada kebesaran. “Yang terbesar antara kamu haruslah menjadi pelayanmu.” Menjadi pelayan bererti anda mengutamakan orang lain daripada diri sendiri. Anda mengutamakan keperluan mereka dan bukannya berusaha membuat mereka memberikan perhatian kepada keperluan anda. Hal ini sukar dilakukan.
Dalam kehidupan, amat mudah bagi kita untuk memikirkan diri sendiri terlebih dahulu. Namun, kuncinya ialah, dalam erti tertentu, kita sebenarnya meletakkan diri sendiri di tempat “pertama” apabila kita benar-benar mengutamakan orang lain daripada diri kita. Ini kerana pilihan untuk mengutamakan orang lain bukan sahaja baik bagi mereka, malah itulah yang paling baik bagi kita. Kita diciptakan untuk mengasihi. Kita diciptakan untuk melayani orang lain. Kita diciptakan dengan tujuan untuk memberikan diri kepada orang lain tanpa menghitung pengorbanannya. Namun, apabila kita berbuat demikian, kita tidak kehilangan diri kita. Sebaliknya, melalui tindakan memberikan diri dan mengutamakan orang lain, kita sebenarnya menemukan siapa diri kita dan menjadi seperti yang dimaksudkan ketika kita diciptakan. Kita menjadi kasih itu sendiri. Dan orang yang mengasihi ialah orang yang besar…dan orang yang besar ialah orang yang ditinggikan oleh Allah.
Renungkanlah hari ini misteri agung serta panggilan kepada kerendahan hati. Jika anda berasa sukar untuk mengutamakan orang lain dan bertindak sebagai pelayan mereka, lakukanlah juga. Pilihlah untuk merendahkan diri di hadapan semua orang lain. Utamakanlah perkara yang menjadi keprihatinan mereka. Berikanlah perhatian kepada keperluan mereka. Dengarlah apa yang mereka katakan. Tunjukkanlah belas kasihan kepada mereka dan bersedialah serta relalah untuk melakukannya dengan sepenuh hati. Jika anda berbuat demikian, hasrat untuk mencapai kebesaran yang hidup jauh di lubuk hati anda akan dipenuhi.
Tuhanku yang rendah hati, terima kasih atas teladan kerendahan hati-Mu. Engkau memilih untuk mengutamakan semua orang, bahkan hingga membiarkan diri-Mu mengalami penderitaan dan kematian yang merupakan akibat daripada dosa-dosa kami. Kurniakanlah aku hati yang rendah hati, ya Tuhan yang kukasihi, supaya Engkau dapat menggunakan aku untuk berkongsi kasih-Mu yang sempurna dengan orang lain. Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.
Renungan Hari Kedua Belas:
40 Hari di Padang Gurun & 40 Hari di Sisi Salib
Renungan Kitab Suci untuk Masa Prapaskah
Santo Hari Ini – Santo Gregorius dari Narek, Abas dan Pujangga Gereja
Imej utama di atas: Yesus Membasuh Kaki Petrus, karya Ford Madox Brown, melalui Wikimedia Commons



