Bahasa Melayu

Menjala Jiwa bersama Yesus

22 April 2022
Hari Jumaat dalam Oktaf Paskah
Bacaan Hari Ini

Video

“Tebarkanlah jala di sebelah kanan perahu dan kamu akan mendapat sesuatu.” Maka mereka menebarkan jala itu, tetapi tidak dapat menariknya kembali kerana begitu banyak ikan yang tertangkap.  Yohanes 21:6

Setiap nelayan pasti ingin mengalami apa yang Yesus berikan kepada para Rasul dalam petikan di atas.  Para Rasul telah menjala sepanjang malam tetapi tidak menangkap apa-apa.  Kemudian, pada waktu pagi, Yesus menampakkan diri di pantai, tetapi mereka tidak menyedari bahawa Dialah Yesus.  Lalu Dia memberikan satu perintah yang mudah kepada mereka, iaitu menebarkan jala di sebelah kanan perahu.  Mereka pun menangkap begitu banyak ikan sehingga tidak dapat menarik jala itu kembali.  Alangkah menggembirakan hasil tangkapan itu!

Hasil tangkapan ikan ini bukan sekadar pertolongan daripada Yesus untuk membantu mereka dalam pekerjaan mereka.  Peristiwa ini sarat dengan makna simbolik.  Makna simbolik yang utama ialah Yesus sedang memberikan panggilan baharu kepada para Rasul.  Mereka tidak lagi menjala ikan semata-mata, sebaliknya kini mereka dipanggil untuk menjala jiwa.  Perkara yang penting ialah jika mereka cuba melakukannya dengan usaha sendiri, mereka akan pulang dengan tangan kosong.  Namun, jika mereka melakukannya atas perintah Tuhan, menurut cara-Nya dan pada waktu yang ditentukan-Nya, maka usaha mereka akan menghasilkan buah yang baik dengan berlimpah-limpah.  Jauh melebihi apa yang dapat mereka bayangkan!

Mukjizat Yesus ini mula menyingkapkan kepada para Rasul (dan kepada kita) perintah yang bakal diberikan untuk mewartakan Injil ke seluruh dunia.  Hal ini disingkapkan selepas Kebangkitan-Nya, ketika Yesus memberikan arahan terakhir kepada para Rasul untuk melaksanakan misi penyelamatan-Nya.  Dalam mukjizat ini, kita seharusnya melihat panggilan kita sendiri untuk menyebarkan Khabar Gembira.  Dalam mukjizat ini juga, kita mesti melihat perintah untuk menyebarkan Khabar Gembira hanya atas perintah Yesus, menurut cara-Nya dan pada waktu yang ditentukan-Nya.

Kadangkala orang Kristian cenderung memikirkan banyak idea yang “baik” untuk menyebarkan Injil.  Namun, kuncinya ialah merendahkan diri di hadapan Allah dan menyedari bahawa kita tidak mampu menyebarkan Khabar Gembira Injil melainkan Tuhan memimpin dan memberikan arahan.  Hal ini menunjukkan bahawa kita harus menantikan-Nya dan membiarkan Dia berbicara.  Kita mesti mendengarkan suara-Nya dan bertindak balas hanya apabila Dia memimpin.  Pewartaan Injil ialah jawapan kepada Yesus, bukannya sesuatu yang kita lakukan dengan usaha sendiri.  Inilah mesej utama peristiwa mukjizat ini.

Sambil kita meneruskan perayaan Hari Paskah, inilah masa yang baik bagi setiap daripada kita untuk merenungkan tanggungjawab kita sendiri untuk mewartakan Injil.  Kita semua dipanggil untuk mengambil bahagian dalam karya Yesus ini.  Karya ini akan mengambil bentuk yang berbeza bagi setiap daripada kita mengikut panggilan dan misi kita.  Namun, persoalan yang sebenar ialah: “Adakah aku menyahut panggilan Yesus untuk mewartakan Injil menurut cara yang ditunjukkan-Nya kepadaku?”  Ini suatu persoalan yang penting.  Kita harus sedar bahawa misi khusus yang Yesus berikan kepada kita tidak diamanahkan kepada orang lain.  Dia benar-benar mahu menggunakan kita.  

Renungkanlah hari ini perintah yang Tuhan kita berikan kepada para Rasul, dan dengarkanlah Dia menyampaikan perintah yang sama kepada anda, dengan memanggil anda untuk “menjala jiwa” menurut kehendak-Nya yang kudus.  Biarkanlah Tuhan berbicara kepada anda minggu ini, dan bukalah diri anda kepada bimbingan-Nya.  Allah mahu menggunakan anda, maka pastikan anda membenarkan-Nya!

Tuhanku yang memberi perintah, aku sungguh ingin digunakan oleh-Mu.  Aku sungguh ingin mewartakan Injil menurut kehendak-Mu.  Bantulah aku menjawab panggilan-Mu dengan penuh keyakinan, dan bantulah aku mendengarkan arahan yang Engkau berikan dengan hati yang tulus.  Gunakanlah aku, ya Tuhan yang kukasihi, untuk menyelamatkan banyak jiwa bagi Kerajaan-Mu.  Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.

Hari Kelapan: Novena sebagai persediaan untuk Hari Minggu Kerahiman Ilahi

Bahan Lain untuk Paska

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Para Kudus/Perayaan Hari Ini

Pilihan Bacaan Misa

Imej utama di atas: Penangkapan Ikan yang Ajaib oleh Raphael, melalui Wikimedia Commons


Tersedia dalam format e-buku dan buku kulit lembut:

Amazon –  Barnes and Noble – Google Play – iTunes

Renungan Harian tentang Kerahiman Ilahi:
365 Hari bersama Santa Faustina


  Subscribe to our YouTube channel  
  to be notified about new content.