Bahasa Melayu

Fahami, Terima, Hayati

16 Februari 2023
Khamis dalam Minggu Biasa Keenam
Bacaan Hari Ini

Video

Yesus dan murid-murid-Nya berangkat ke kampung-kampung di sekitar Kaisarea Filipi. Dalam perjalanan, Dia bertanya kepada murid-murid-Nya, “Menurut kata orang, siapakah Aku ini?” Markus 8:27

Sebagai jawapan kepada soalan ini, murid-murid memberitahu Yesus bahawa ada yang menyangka Dia ialah “Yohanes Pembaptis, yang lain mengatakan Elia, dan yang lain pula mengatakan salah seorang nabi.” Tetapi kemudian Yesus bertanya kepada murid-murid-Nya siapakah Dia menurut mereka sendiri. Petruslah yang menjawab, “Engkaulah Kristus.”

Sambil kita merenungkan perbualan antara Yesus dengan murid-murid-Nya ini, cubalah mendengar Tuhan kita mengajukan soalan yang sama kepada anda. “Tetapi menurut kamu, siapakah Aku ini?” Walaupun anda mungkin mendapati soalan ini mudah dijawab pada peringkat akal budi, janganlah terlalu cepat menjawabnya. Fikirkanlah. Jauh di lubuk jiwa anda, apakah yang anda percayai tentang Yesus?

Walaupun jawapan Petrus itu betul, penting bagi kita untuk merenungkan makna sebenarnya. Hal ini amat jelas apabila Yesus mula menjelaskan misi-Nya sebagai Kristus, Petrus tidak dapat menerimanya. Yesus menjelaskan kepada Petrus dan murid-murid yang lain bahawa, sebagai Kristus, Dia akan “menanggung banyak penderitaan dan ditolak oleh para tua-tua, ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat, lalu dibunuh, dan bangkit selepas tiga hari.” Dengan kata lain, Yesus mahu murid-murid-Nya memahami inti pati misi-Nya. Dalam misi-Nya itu, Dia akan menjadi Anak Domba Allah yang dikorbankan dan mati demi dosa-dosa kita. Namun, hal ini terlalu berat untuk segera difahami, diterima dan dihayati oleh murid-murid-Nya dengan penuh kesyukuran.

Adakah anda memahami, menerima dan menghayati misi utama Yesus ini? Adakah anda memahami bahawa oleh sebab dosa-dosa yang telah anda sendiri lakukan, anda memerlukan seorang Penyelamat? Adakah anda memahami bahawa akibat dosa-dosa anda ialah kematian? Kematian kekal? Dan adakah anda juga memahami bahawa hanya melalui kematian Yesus, segala dosa dan kematian dibinasakan?

Kadangkala kita boleh terperangkap dalam pemikiran yang silap bahawa Yesus hanyalah seorang tokoh yang memberikan inspirasi dan mengajar kita bagaimana kita patut hidup. Walaupun hal itu benar, Yesus jauh lebih daripada itu. Dialah satu-satunya jalan ke Syurga. Tanpa kematian dan kebangkitan-Nya, kita tidak dapat mencapai Syurga. Dialah satu-satunya Penyelamat. Anak Domba yang disembelih demi dosa-dosa kita. Satu-satunya sumber penebusan kekal. Satu-satunya jambatan antara Syurga dengan umat manusia. Walaupun anda mungkin memahami hal ini pada peringkat akal budi hingga tahap tertentu, iman anda akan kenyataan ini mesti meresap jauh ke dalam jiwa anda supaya anda dapat mempercayainya dan menghayati kurnia keselamatan kekal daripada-Nya di lubuk diri anda yang paling dalam. Jika kita hendak benar-benar menerima kurnia kehidupan Yesus, hal ini menuntut pemahaman, penerimaan dan penghayatan yang radikal.

Renungkanlah hari ini bagaimana anda akan menjawab soalan daripada Tuhan kita ini. “Menurut KAMU, siapakah Aku ini?” Untuk menjawabnya dengan betul, anda perlu terus memperdalam pemahaman, penerimaan dan penghayatan sepenuhnya akan misi penyelamatan Tuhan kita. Walaupun hal ini merupakan proses sepanjang hayat, kita tidak boleh berhenti menyelami misteri dan kurnia ilahi ini dengan lebih mendalam, supaya kita diubah sepenuhnya oleh kehidupan, kematian dan kebangkitan Dia yang merupakan Kristus daripada Allah.

Tuhan yang menyelamatkan, bukalah akal budi dan hatiku agar lebih terbuka kepada-Mu pada hari ini dan setiap hari sepanjang hidupku. Semoga aku terus memperdalam iman dan pemahamanku akan Dikau serta misi penyelamatan-Mu yang ilahi. Dalam usaha ini, ubahlah diriku semakin hari semakin mendalam supaya aku lebih bersedia sepenuhnya untuk menerima segala yang Engkau datang untuk kurniakan kepadaku. Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Renungan Kitab Suci untuk Masa Prapaskah

Para Kudus/Perayaan Hari Ini

Pilihan Bacaan Misa

Imej utama di atas: Kristus dan Murid-murid-Nya dalam Perjalanan ke Emaus Oleh Pieter Coecke van Aelst, melalui Wikimedia Commons