Bahasa Melayu

Pesta Kanak-kanak Suci, Para Martir

28 Disember 2019
Kanak-kanak Suci, Para Martir—Pesta
Hari Keempat dalam Oktaf Krismas
Bacaan Hari Ini

Apabila Herodes menyedari bahawa dia telah diperdaya oleh orang Majus, dia menjadi sangat marah.  Dia memerintahkan pembunuhan semua kanak-kanak lelaki di Betlehem dan kawasan sekitarnya yang berumur dua tahun ke bawah, sesuai dengan waktu yang telah dipastikannya daripada orang Majus.  Matius 2:16

Hari ini, pada hari keempat dalam Oktaf Krismas, kita diberikan kesaksian yang serupa dengan kesaksian yang kita terima pada 26 Disember, Pesta Kemartiran Santo Stefanus.  Namun, pesta hari ini memperlihatkan kejahatan yang sama dari sudut yang berbeza dan lebih tragis lagi.  Di sini, kerana iri hati dan kebencian, Herodes memerintahkan pembunuhan begitu banyak kanak-kanak yang tidak berdosa dalam usaha untuk menghapuskan Yesus, Raja yang baru lahir.  

Kita hanya dapat membayangkan kedukaan yang pasti menyelubungi kota Betlehem dan kawasan sekitarnya ketika para askar menjelajah kawasan itu sambil membunuh kanak-kanak yang tidak berdosa, sementara ibu bapa mereka menyaksikannya tanpa berdaya berbuat apa-apa.  Di satu pihak, kita terkejut apabila mengetahui bahawa Allah membenarkan hal ini berlaku.  Di pihak yang lain, dengan iman yang mendalam, kita mesti berusaha memahami kesaksian yang diberikan oleh kanak-kanak yang tidak berdosa ini.

Walaupun perbuatan ini merupakan jenayah dan kejahatan yang tidak terkatakan dahsyatnya, dari sudut keabadian, Allah akan membereskannya.  Di Syurga, untuk selama-lamanya, mangsa-mangsa yang tidak berdosa ini akan memakai mahkota kemartiran dan akan dihormati oleh para malaikat dan orang kudus sebagai saksi-saksi pertama bagi Raja yang baru lahir.  Walaupun hal ini mungkin tidak meringankan kepedihan pada waktu itu, hal ini pasti akan mengubah kepedihan yang dirasakan oleh keluarga-keluarga tersebut apabila mereka memasuki keadilan Syurga.

Kesaksian mereka menyingkapkan banyak hal tentang kehidupan kita sendiri.  Kesaksian itu menunjukkan bahawa sering kali dalam kehidupan, apa yang berlaku sama sekali tidak saksama dan tidak adil.  Pembunuhan beramai-ramai kanak-kanak yang tidak berdosa ini mengingatkan kita dengan tegas akan kenyataan tersebut.  Namun, satu perkara yang mesti kita pegang teguh ialah bahawa Allah akan membetulkan setiap ketidakadilan pada akhirnya.  Hari ini, kita merayakan pesta dengan penuh khidmat untuk menghormati kanak-kanak ini sebagai suatu cara untuk menyatakan bahawa Allah telah mengubah tragedi ini menjadi sesuatu yang mulia.  

Hal yang sama juga berlaku bagi setiap seorang daripada kita.  Apa pun “tragedi” yang anda alami, ketahuilah bahawa Putera Allah telah masuk ke dalam dunia kita, mengambil kodrat manusia kita yang telah jatuh dalam dosa, supaya Dia dapat membetulkan segala-galanya.  

Renungkanlah hari ini perkara yang paling menyakitkan bagi anda pada musim Krismas ini.  Apa pun perkara itu, hari ini anda dijemput untuk menyatukan luka dan kepedihan anda dengan kedukaan keluarga-keluarga yang kehilangan anak-anak kecil ini.  Biarkanlah Allah melakukan untuk anda apa yang pada akhirnya telah dilakukan-Nya untuk mereka semua.  Biarkanlah Penjelmaan, kematian dan Kebangkitan-Nya mengubah luka anda menjadi mahkota kemartiran.  Pada akhirnya, Tuhan akan memperoleh kemenangan dalam hidup anda jika anda membenarkan-Nya.

Tuhan, aku menyerahkan segala luka, kepedihan dan kebingungan kepada-Mu.  Pada hari ini, aku menyatukan diriku dengan kedukaan mereka yang kehilangan anak-anak kecil ini, dan aku percaya bahawa kehidupan anak-anak itu, yang kini memerintah bersama-Mu di Syurga, menjadi tanda bagiku tentang apa yang akan datang.  Kelahiran-Mu ke dalam dunia kami merupakan tanda teragung bahawa Engkaulah Penyelamat kami dan bahawa Engkau dapat mengubah segala sesuatu menjadi kebaikan.  Yesus, aku mempercayakan hidupku kepada-Mu dan aku tahu bahawa Engkau akan membetulkan setiap ketidakadilan.  Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.