13 Mei 2020
Hari Rabu dalam Minggu Paskah Kelima
Bacaan Hari Ini
Bonda Maria dari Fatima—Peringatan Pilihan

“Akulah pokok anggur yang benar, dan Bapa-Kulah pengusaha kebun anggur. Setiap ranting pada-Ku yang tidak berbuah dipotong-Nya, dan setiap ranting yang berbuah dipangkas-Nya supaya menghasilkan lebih banyak buah.” Yohanes 15:1–2
Adakah anda rela membiarkan diri anda dipangkas? Pemangkasan perlu dilakukan agar sesuatu tumbuhan dapat menghasilkan banyak buah yang baik atau bunga yang indah. Sebagai contoh, jika pokok anggur dibiarkan tumbuh tanpa dipangkas, pokok itu akan menghasilkan banyak buah anggur kecil yang tidak berguna. Namun, jika pokok anggur itu dipangkas dengan teliti, buah anggur yang baik dapat dihasilkan sebanyak mungkin.
Yesus menggunakan gambaran pemangkasan ini untuk mengajarkan kita hal yang serupa tentang menghasilkan buah yang baik bagi Kerajaan-Nya. Dia mahu hidup kita berbuah dan mahu menggunakan kita sebagai alat rahmat-Nya yang berkesan di dunia. Namun, jika kita tidak rela melalui pemurnian melalui pemangkasan rohani dari semasa ke semasa, kita tidak akan menjadi alat yang dapat digunakan oleh Allah.
Pemangkasan rohani berlaku apabila kita membiarkan Allah menyingkirkan tabiat buruk dalam hidup kita supaya kebajikan dapat dipupuk dengan baik. Hal ini khususnya berlaku apabila kita membiarkan Dia merendahkan hati kita dan menanggalkan kesombongan kita. Ini boleh menyakitkan, tetapi kepedihan yang kita alami apabila Allah merendahkan hati kita merupakan kunci kepada pertumbuhan rohani. Apabila kita bertumbuh dalam kerendahan hati, kita semakin bergantung pada sumber yang menyuburkan kita, dan bukannya bergantung pada diri sendiri, gagasan sendiri dan rancangan sendiri. Kebijaksanaan Allah jauh tidak terhingga melebihi kebijaksanaan kita, dan jika kita dapat terus berpaling kepada-Nya sebagai sumber kita, kita akan menjadi jauh lebih kuat dan lebih bersedia untuk membiarkan Dia melakukan perkara-perkara besar melalui kita. Namun, sekali lagi, ini menuntut kita membiarkan Dia memangkas kita.
Dipangkas secara rohani bererti kita secara aktif melepaskan kehendak dan gagasan kita sendiri. Ini bererti kita melepaskan kawalan atas hidup kita dan membiarkan pengusaha kebun yang mahir mengambil alih. Ini bererti kita jauh lebih mempercayai-Nya daripada mempercayai diri sendiri. Hal ini menuntut kita sungguh-sungguh mati terhadap diri sendiri dan memiliki kerendahan hati yang sejati, yang melaluinya kita mengakui bahawa kita bergantung sepenuhnya pada Allah, sebagaimana ranting bergantung pada pokok anggur. Tanpa pokok anggur, kita menjadi layu dan mati. Tetap melekat erat pada pokok anggur ialah satu-satunya jalan menuju kehidupan.
Berdoalah pada hari ini agar anda membiarkan Tuhan memangkas segala yang bukan daripada-Nya dalam hidup anda. Percayalah kepada-Nya dan rancangan ilahi-Nya, dan ketahuilah bahawa inilah satu-satunya jalan untuk menghasilkan buah yang baik yang ingin Allah hasilkan melalui anda.
Tuhan, aku berdoa agar Engkau memangkas segala kesombongan dan sikap mementingkan diriku. Sucikanlah aku daripada dosaku yang banyak supaya aku dapat berpaling kepada-Mu dalam segala hal. Dan sewaktu aku belajar bergantung pada-Mu, semoga Engkau mula menghasilkan buah yang baik dengan berlimpah dalam hidupku. Yesus, aku percaya kepada-Mu.
Orang Kudus Hari Ini – Bonda Maria dari Fatima
Imej: Kristus Pokok Anggur yang Benar
Perjalanan Mistik Menuju Persatuan dengan Allah:
Kebijaksanaan Rohani daripada Santo Yohanes dari Salib





