8 November 2020
Hari Minggu Biasa Ke-32, Tahun A
Bacaan Hari Ini

“Oleh itu, berjaga-jagalah, kerana kamu tidak tahu hari mahupun waktunya.” Matius 25:13
Bayangkan jika anda mengetahui hari dan waktu anda akan meninggalkan kehidupan ini. Sememangnya, ada orang yang tahu bahawa ajal mereka semakin dekat, sama ada kerana penyakit atau usia. Namun, fikirkanlah hal ini dalam kehidupan anda sendiri. Bagaimana jika Yesus memberitahu anda bahawa esoklah harinya? Adakah anda bersedia?
Kemungkinan besar, banyak urusan praktikal yang ingin anda selesaikan akan terlintas dalam fikiran. Ramai orang akan memikirkan semua insan yang mereka kasihi dan kesan pemergian mereka terhadap insan-insan itu. Ketepikanlah semua itu buat sementara waktu dan renungkan soalan ini dari satu sudut sahaja. Adakah anda bersedia untuk bertemu dengan Yesus?
Apabila anda meninggalkan kehidupan ini, hanya satu perkara yang akan menjadi penting. Apakah yang akan Yesus katakan kepada anda? Tepat sebelum petikan Kitab Suci di atas, Yesus menceritakan Perumpamaan Sepuluh Gadis. Ada antara mereka yang bijaksana dan mempunyai minyak untuk pelita mereka. Apabila pengantin lelaki tiba lewat malam, mereka sudah bersedia dengan pelita yang menyala untuk menyambutnya, dan dia menerima mereka. Gadis-gadis yang bodoh pula tidak bersedia dan tidak mempunyai minyak untuk pelita mereka. Apabila pengantin lelaki tiba, mereka terlepas peluang untuk menyambutnya dan mendengar kata-kata ini, “Sesungguhnya, aku berkata kepadamu, aku tidak mengenal kamu” (Matius 25:12).
Minyak dalam pelita mereka, atau ketiadaan minyak itu, ialah lambang kasih. Jika kita mahu bersedia untuk bertemu dengan Tuhan pada bila-bila masa, pada bila-bila hari, kita mesti mempunyai kasih dalam hidup kita. Kasih jauh lebih daripada sekadar dorongan atau perasaan cinta. Kasih ialah komitmen yang radikal untuk mengasihi orang lain dengan hati Kristus. Kasih ialah kebiasaan harian yang kita bentuk dengan memilih untuk mengutamakan orang lain, sambil memberikan kepada mereka segala yang Yesus minta kita berikan. Hal itu mungkin berupa pengorbanan kecil atau tindakan pengampunan yang penuh keberanian. Namun, walau apa pun bentuknya, kita memerlukan kasih agar bersedia untuk bertemu dengan Tuhan kita.
Renungkanlah hari ini insan-insan dalam hidup anda yang Allah kehendaki supaya anda kasihi. Sejauh manakah anda mengasihi mereka dengan baik? Sejauh manakah anda memberikan komitmen sepenuhnya? Sejauh manakah anda sanggup berusaha? Apa sahaja yang terlintas dalam fikiran tentang kekurangan anda dalam kurnia ini, berikanlah perhatian kepadanya dan mohonlah rahmat Tuhan supaya anda juga menjadi seorang yang bijaksana dan bersedia untuk bertemu dengan Tuhan pada bila-bila masa.
Tuhan, aku memohon kurnia kasih adikodrati dalam hidupku. Penuhilah aku dengan kasih terhadap orang lain dan bantulah aku untuk menjadi sangat murah hati dalam kasih ini. Semoga aku tidak menahan apa-apa pun, dan dengan demikian, bersedia sepenuhnya untuk bertemu dengan-Mu apabila sahaja Engkau memanggilku pulang. Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.
Imej pilihan di atas: Perumpamaan Sepuluh Gadis (sebahagian) oleh Phoebe Anna Traquair




