15 Julai 2022
Jumaat dalam Minggu Kelima Belas Masa Biasa
Bacaan Hari Ini
Santo Bonaventura, Uskup dan Pujangga Gereja—Peringatan

“Jika kamu memahami maksud kata-kata ini, Aku menghendaki kerahiman, bukan korban, kamu tidak akan menghukum orang-orang yang tidak bersalah ini.” Matius 12:7
Para Rasul Yesus berasa lapar, lalu mereka memetik bulir-bulir gandum sambil berjalan untuk menghilangkan rasa lapar mereka. Akibatnya, orang Farisi mengecam para Rasul kerana melakukan sesuatu yang menurut dakwaan mereka “tidak dibenarkan” pada hari Sabat. Mereka mendakwa bahawa memetik bulir-bulir gandum sambil berjalan dianggap sebagai “kerja” dan dengan itu, para Rasul telah melanggar hukum yang mewajibkan rehat pada hari Sabat.
Benarkah? Adakah orang Farisi benar-benar menganggap bahawa para Rasul berdosa kerana memetik gandum sambil berjalan untuk menghilangkan rasa lapar mereka? Semoga tidak sukar bagi kita untuk melihat betapa tidak masuk akal dan tidak munasabahnya kecaman ini. Para Rasul tidak melakukan apa-apa kesalahan, namun mereka tetap dikecam. Mereka ialah “orang-orang yang tidak bersalah”, seperti yang ditegaskan oleh Yesus.
Yesus menanggapi sikap orang Farisi yang tidak munasabah itu dengan mengingatkan mereka akan kata-kata Kitab Suci, “Aku menghendaki kerahiman, bukan korban.” Dia juga menegaskan bahawa para Rasul telah dihukum secara tidak adil kerana orang Farisi tidak memahami petikan ini dan perintah Allah ini supaya berbelas kasihan.
Perintah untuk berehat pada hari Sabat datang daripada Allah. Namun, perintah untuk berehat itu bukanlah suatu tuntutan yang perlu dipatuhi semata-mata demi tuntutan itu sendiri. Perintah ini bukan sekadar suatu tuntutan hukum yang kononnya menghormati Allah hanya dengan mematuhinya secara ketat. Rehat pada hari Sabat pada asasnya merupakan anugerah Allah kepada umat manusia kerana Allah tahu bahawa kita memerlukan rehat dan pemulihan tenaga. Dia tahu bahawa setiap minggu kita memerlukan masa untuk memperlahankan rentak hidup, beribadat secara khusus kepada Allah dan menikmati kebersamaan dengan orang lain. Namun, orang Farisi menjadikan rehat pada hari Sabat suatu beban. Mereka menjadikannya suatu amalan yang terlalu terikat pada kepatuhan hukum secara ketat, yang sama sekali tidak memuliakan Allah ataupun menyegarkan jiwa manusia.
Satu kebenaran penting yang dapat kita pelajari daripada petikan ini ialah bahawa Allah memanggil kita untuk mentafsirkan hukum-Nya dari sudut pandang kerahiman. Kerahiman sentiasa menyegarkan kita, membangkitkan semangat kita dan memenuhi kita dengan tenaga baharu. Kerahiman mendorong kita untuk beribadat dan memenuhi kita dengan harapan. Kerahiman tidak mengenakan beban kepatuhan hukum yang berat kepada kita; sebaliknya, kerahiman dan hukum Allah bersama-sama memulihkan tenaga dan menyegarkan kita.
Renungkanlah hari ini cara anda memandang perintah dan hukum Allah. Adakah anda melihatnya sebagai suatu tuntutan yang terlalu menekankan kepatuhan hukum dan membebankan? Atau adakah anda melihatnya sebagai berkat kerahiman Allah yang bertujuan meringankan beban anda?
Tuhanku yang penuh kerahiman, bantulah aku untuk mencintai hukum-Mu. Bantulah aku untuk benar-benar melihatnya dalam terang kerahiman dan kasih kurnia-Mu. Semoga aku disegarkan oleh segala yang Engkau perintahkan dan diteguhkan oleh kehendak-Mu. Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.
Santo Hari Ini: Santo Bonaventura
Imej Pilihan: James Tissot, Domain awam, melalui Wikimedia Commons



