Bahasa Melayu

Kerendahan Hati + Iman = Kerahiman

3 Ogos 2022
Hari Rabu dalam Minggu Kelapan Belas Masa Biasa
Bacaan Hari Ini

Video

Tetapi wanita itu datang dan sujud menyembah-Nya sambil berkata, “Tuhan, tolonglah aku.” Dia menjawab, “Tidak patut mengambil makanan anak-anak lalu melemparkannya kepada anjing.” Wanita itu berkata, “Tolonglah, Tuhan, kerana anjing pun makan sisa-sisa yang jatuh dari meja tuannya.”  Matius 15:25-27

Adakah Yesus benar-benar membayangkan bahawa menolong wanita ini sama seperti melemparkan makanan kepada anjing?  Kebanyakan daripada kita tentu akan berasa sangat tersinggung dengan kata-kata Yesus kerana kesombongan kita.  Tetapi apa yang dikatakan-Nya itu benar dan sama sekali tidak biadab.  Jelas sekali, Yesus tidak mungkin bersikap biadab.  Namun begitu, pada zahirnya, pernyataan-Nya itu kelihatan biadab.  

Pertama, marilah kita melihat bagaimana pernyataan-Nya itu benar.  Wanita ini meminta Yesus datang untuk menyembuhkan anak perempuannya.  Pada dasarnya, Yesus memberitahunya bahawa dia sama sekali tidak layak menerima rahmat ini.  Dan itu benar.  Sebagaimana seekor anjing tidak layak diberi makanan dari meja, begitu juga kita tidak layak menerima rahmat Allah.  Walaupun cara menyatakannya ini mengejutkan, Yesus berkata demikian untuk terlebih dahulu menunjukkan kebenaran tentang keadaan kita yang berdosa dan ketidaklayakan kita.  Dan wanita ini menerimanya.

Kedua, pernyataan Yesus memberi wanita ini peluang untuk memberikan respons dengan penuh kerendahan hati dan iman.  Kerendahan hatinya terserlah apabila dia tidak menafikan perbandingan dirinya dengan seekor anjing yang makan dari meja.  Sebaliknya, dengan rendah hati dia menyatakan bahawa anjing pun makan sisa-sisa makanan.  Sungguh luar biasa kerendahan hati ini!  Sesungguhnya, kita boleh yakin bahawa Yesus bercakap kepadanya dengan cara yang agak merendahkan dirinya ini kerana Dia mengetahui betapa rendah hatinya wanita itu, dan Dia tahu bahawa wanita itu akan memberikan respons dengan membiarkan kerendahan hatinya terserlah sehingga imannya nyata.  Dia tidak tersinggung dengan kebenaran yang merendahkan hatinya tentang ketidaklayakannya; sebaliknya, dia menerima kebenaran itu dengan sepenuh hati dan juga mencari kerahiman Allah yang melimpah walaupun dia tidak layak.  

Kerendahan hati berpotensi membangkitkan iman, dan iman membuka jalan bagi kerahiman serta kuasa Allah untuk berkarya.  Akhirnya, Yesus berkata supaya semua orang dapat mendengar, “Wahai wanita, besarnya imanmu!”  Imannya terserlah dan Yesus mengambil kesempatan itu untuk memberikan penghormatan kepadanya kerana imannya yang disertai kerendahan hati itu.

Renungkanlah hari ini kerendahan hati anda sendiri di hadapan Allah.  Bagaimanakah respons anda sekiranya Yesus bercakap sedemikian kepada anda?  Adakah anda cukup rendah hati untuk mengakui ketidaklayakan anda?  Jika ya, adakah anda juga mempunyai iman yang cukup untuk berseru memohon kerahiman Allah walaupun anda tidak layak?  Sifat-sifat yang indah ini saling bergandingan (kerendahan hati dan iman) dan membuka jalan bagi kerahiman Allah untuk berkarya!

Tuhanku yang maharahim, aku tidak layak.  Bantulah aku menyedari hal ini.  Bantulah aku menyedari bahawa aku tidak layak menerima rahmat-Mu dalam hidupku.  Namun, dalam kebenaran yang merendahkan hati ini, semoga aku juga mengenali kerahiman-Mu yang melimpah dan tidak pernah takut untuk berseru kepada-Mu memohon kerahiman.  Yesus, aku menaruh kepercayaan kepada-Mu.

Masa Biasa: Minggu 18-34

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Para Kudus/Perayaan Hari Ini

Pilihan Bacaan Misa

Imej utama di atas: Wanita Kanaan di Kaki Kristus oleh Jean Germain Drouais, melalui Wikimedia Commons