Bahasa Melayu

Menghulurkan Pipi yang Sebelah Lagi

13 Jun 2022
Hari Isnin dalam Minggu Kesebelas Masa Biasa
Bacaan Hari Ini

Santo Antonius dari Padua, Paderi dan Pujangga Gereja—Peringatan

Video

“Tetapi Aku berkata kepadamu, janganlah melawan orang yang berbuat jahat. Jika seseorang menampar pipi kananmu, hulurkanlah juga pipi yang sebelah lagi kepadanya.”  Matius 5:39

Ajaran ini sukar untuk diterima!

Adakah Yesus benar-benar memaksudkan hal ini?  Sering kali, apabila seseorang berbuat salah terhadap kita atau menyakiti kita, kita cenderung untuk segera mencari alasan bagi mengetepikan petikan Injil ini dan menganggap bahawa petikan ini tidak terpakai kepada kita.  Ya, ajaran ini sukar dipercayai dan lebih sukar lagi untuk dihayati.

Apakah ertinya “menghulurkan pipi yang sebelah lagi?”  Pertama sekali, kita harus melihatnya secara harfiah.  Yesus benar-benar memaksudkan apa yang dikatakan-Nya.  Dialah teladan yang sempurna dalam hal ini.  Dia bukan sahaja ditampar pada pipi, malah dipukul dengan kejam dan digantung pada salib.  Namun, jawapan-Nya ialah, “Bapa, ampunilah mereka, kerana mereka tidak tahu apa yang mereka lakukan.”  Oleh itu, Yesus tidak memanggil kita untuk melakukan apa-apa yang Dia sendiri tidak rela lakukan.

Menghulurkan pipi yang sebelah lagi tidak bererti bahawa kita perlu menutup-nutupi perbuatan atau kata-kata orang lain yang bersifat mendera.  Kita tidak sepatutnya berpura-pura bahawa mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan.  Yesus sendiri, ketika mengampuni dan memohon agar Bapa mengampuni, mengakui ketidakadilan berat yang dialami-Nya di tangan orang berdosa.  Namun, yang penting ialah Dia tidak membiarkan diri-Nya terheret ke dalam niat jahat mereka.

Sering kali, apabila kita berasa seolah-olah orang lain melemparkan lumpur kepada kita, secara kiasannya, kita tergoda untuk melemparkannya kembali.  Kita tergoda untuk melawan dan menolak si pembuli itu kembali.  Namun, kunci untuk mengatasi niat jahat dan kekejaman orang lain ialah keengganan untuk terheret sama ke dalam lumpur itu.  Menghulurkan pipi yang sebelah lagi ialah satu cara untuk menyatakan bahawa kita enggan merendahkan diri dengan berbalah atau bertengkar secara bodoh.  Kita enggan terlibat dalam tindakan yang tidak rasional apabila berdepan dengannya.  Sebaliknya, kita memilih untuk membiarkan orang lain memperlihatkan niat jahat mereka kepada diri mereka sendiri dan kepada orang lain, dengan menerima perlakuan itu secara damai dan mengampuni.  

Ini tidak bermakna bahawa Yesus mahu kita terus-menerus hidup dalam hubungan yang bersifat mendera dan melampaui kemampuan kita untuk menanggungnya.  Namun, ini bererti bahawa kita semua akan menghadapi ketidakadilan dari semasa ke semasa, dan kita perlu menanganinya dengan belas kasihan serta segera mengampuni, tanpa terheret untuk membalas kejahatan dengan kejahatan.  

Renungkanlah hari ini hubungan yang sukar bagi anda.  Secara khusus, renungkanlah sejauh mana anda bersedia untuk mengampuni dan menghulurkan pipi yang sebelah lagi.  Dengan berbuat demikian, anda mungkin akan menemukan kedamaian dan kebebasan yang anda cari dalam hubungan itu.

Tuhanku yang Maha Pengampun, bantulah aku meneladani kerahiman dan pengampunan-Mu yang agung.  Bantulah aku mengampuni mereka yang telah menyakitiku dan bantulah aku mengatasi segala ketidakadilan yang aku hadapi.  Yesus, aku percaya kepada-Mu.

Novena kepada Hati Yesus yang Mahakudus
Tarikh novena:15-23 Jun 2022
24 Jun 2022: Hari Raya Hati Yesus yang Mahakudus

Renungan Injil Lain

Renungan Kerahiman Ilahi

Semua Orang Kudus/Perayaan

Santo Hari Ini – Santo Antonius dari Padua, Paderi dan Pujangga Gereja

Pilihan Bacaan Misa

Imej pilihan di atas: Pemahkotaan dengan Duri oleh Caravaggio, melalui Wikipedia